BeritaCOVID19

Johor, Pahang Beralih Fasa

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, hari ini membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Johor dan Pahang berkuat kuasa Jumaat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Johor akan beralih daripada Fasa 2 ke Fasa 3, manakala Pahang daripada Fasa 3 ke Fasa 4.

“Peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan ditetapkan PPN dan selepas mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang¬†www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beberapa kelonggaran baharu dibenarkan berkuat kuasa 9 Oktober ini.

“Waktu beroperasi pasar borong di Fasa 2 dan Fasa 3 dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti mana ditetapkan, dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada.

“Upacara mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus bagi Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN,” katanya.

Katanya, Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada persatuan agama Hindu dan persatuan agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi.

Hishammuddin berkata, pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran menerusi sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan dengan beberapa syarat.

“Antara syarat ditetapkan termasuk pekerja dan pembida sudah dilengkapi vaksin dan hanya membabitkan 54 pelelong yang dikenal pasti di seluruh negara, manakala aktiviti terhad 30 minit setiap sesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan.

“Kapasiti pekerja berdasarkan fasa iaitu untuk Fasa 2 membenarkan 60 peratus kapasiti pekerja dan 50 peratus pembida; Fasa 3, 80 peratus kapasiti pekerja dan 80 peratus pembida, manakala Fasa 4, 100 peratus kapasiti pekerja dan pembida,” katanya.

Katanya, sektor tembakau dan rantaiannya dibenar beroperasi di Fasa 2 PPN dan seterusnya.

“Dalam usaha negara #ReopeningSafely, perkara paling penting adalah untuk kita semua tidak cepat berasa selesa dan bersikap sambil lewa.

“Di sebalik semua kelonggaran diumumkan, hakikat yang harus kita hadapi adalah kita semua terpaksa hidup bersama virus COVID-19.

“Oleh demikian, selain terus mengamalkan SOP, penting untuk kita semua meningkatkan penilaian kendiri, bukan sahaja demi melindungi diri sendiri tetapi juga masyarakat sekeliling daripada virus COVID-19,” katanya.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button