Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaJohor rancang perkenal majlis rumah terbuka Bangsa Johor

Johor rancang perkenal majlis rumah terbuka Bangsa Johor

MERSING, 21 Mei (Bernama) — Kerajaan Johor merancang memperkenalkan majlis rumah terbuka berkonsepkan Bangsa Johor di bangunan Yayasan Warisan Johor (YWJ) bagi setiap perayaan dalam usaha menyemarakkan industri pelancongan seni dan budaya warisan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata penganjuran itu dilihat dapat menjadikan masyarakat berasa lebih dekat dengan aset di bawah YWJ termasuk muzium.

Beliau berkata penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri daerah Mersing di pekarangan muzium Mersing hari ini, merupakan permulaan perancangan program tersebut sekali gus menarik kehadiran pelancong untuk berkunjung ke muzium berkenaan.

“Ini merupakan contoh konsep Bangsa Johor yang kita hendak amalkan dan kita rancang untuk cuba buat semua sambutan perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dan Deepavali peringkat negeri dan di semua daerah secara giliran.

“Pada masa sama, kita dapat mempromosikan muzium dan aset-aset di bawah YWJ termasuk artis budaya kerana kita dapati ada ketikanya orang ramai kelihatan ‘takut’ untuk berkunjung misalnya ke muzium Mersing yang dahulunya adalah bangunan kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka berkenaan di sini hari ini.

Raven Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh berkata kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung berbilang bangsa termasuk pelancong pada majlis itu mencerminkan tali persaudaraan yang erat dalam kalangan penduduk di negeri ini.

“Lebih 20 agensi daerah dan negeri terlibat dalam menjayakan sambutan rumah terbuka berkenaan dan ia dapat mengeratkan lagi hubungan di antara masyarakat dan agensi kerajaan.

“Kita yakin sekiranya dianjurkan di daerah yang kecil sekalipun akan ramai tetamu yang hadir dan semua rakyat Johor dapat merasai kemeriahan sambutan perayaan yang diadakan,” katanya sambil menambah program seumpama itu mampu memeriahkan bangunan YWJ yang sudah lama tidak digunakan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular