Johor teliti semula SOP keselamatan tapak perkhemahan

KOTA TINGGI, 18 Dis (Bernama) — Kerajaan Johor akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan di tapak perkhemahan, bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihaknya kini juga sedang mendapatkan senarai kawasan-kawasan tapak perkhemahan di kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri akan lihat bagaimana 16 PBT ini termasuk juga Jabatan Perhutanan dan agensi lain, untuk lihat balik SOP, untuk aktiviti perkhemahan yang akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sedili, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah yang akan diambil kerajaan negeri berhubung pengoperasian tapak perkhemahan di Johor susulan bencana alam iaitu tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Mohd Jafni berkata kebenaran bagi aktiviti perkhemahan seperti di kawasan hutan lipur berada di bawah kendalian Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), manakala kawasan pantai pula di bawah PBT.

Beliau berkata walaupun setiap kawasan tapak perkhemahan mempunyai risiko yang berbeza, kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi memastikan langkah keselamatan menjadi keutamaan.

Sebelum ini, JPNJ dilaporkan sebagai berkata kesemua Taman Eko Rimba, trek pendakian dan laluan kenderaan pacuan empat roda (4×4) di dalam hutan simpan kekal di negeri itu, ditutup kepada orang awam mulai semalam sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button