
Jualan Apple Watch Mungkin Diharamkan Selepas Didapati Melanggar Paten ECG
Tahun lalu Apple disaman oleh AliveCor kerana didakwa menggunakan teknologi ECG milik mereka pada Apple Watch tanpa kebenaran. AliveCor kemudiannya memfailkan aduan kepada ITC supaya jualan Apple Watch diharamkan selagi ganti rugi tidak dibayar. Hari ini ITC mendapati Apple menggunakan teknologi AliveCor tanpa kebenaran.
Sungguhpun begitu pengharaman import Apple Watch ke pasaran Amerika Syarikat tidak akan dikuatkuasakan sehinggalah Apple melakukan proses rayuan kerana sebelum ini pejabat paten Amerika Syarikat mengatakan paten milik AliveCor tidak sah. Apple mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan ITC.
Sebelum ciri ECG ditawarkan pada Apple Watch, AliveCor menjual tali jam KardiaBand yang membawakan ciri ini. Jualan KardiaBand terpaksa dihentikan selepas ciri ECG mula disertakan pada Apple Watch sejak 2018 menyebabkan kerugian kepada AliveCor.