Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun, Terengganu meningkat

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Kelantan merekodkan trend menurun manakala Terengganu mencatatkan peningkatan dan Johor serta Perak kekal.

Di KELANTAN, seramai 1,508 mangsa banjir daripada 467 keluarga di jajahan Pasir Mas ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini, menurun berbanding 1,814 orang daripada 565 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan 712 mangsa berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (34), SK Gual Periok (516), Masjid Mukim Padang Licin (57), PPS Putat Tujoh (30) dan SK Kubang Kual (165).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS petang ini meningkat sedikit kepada 23 orang daripada enam keluarga berbanding 20 orang daripada lima keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan SK Atas Tol di Kuala Terengganu masih menjadi PPS tunggal yang beroperasi ketika ini.

Di JOHOR, JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir kekal 91 orang dengan 21 keluarga berada di tiga PPS di Segamat iaitu Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya manakala tiga keluarga di PPS Sekolah Agama Pangkalan Batu di Mersing, setakat 4 petang ini.

Tiga lokasi terjejas banjir di Segamat adalah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 serta Kampung Kuala Paya dan satu lokasi di Mersing melibatkan Kampung Lubuk.

Cuaca di Johor Bahru, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan hujan, manakala Muar, Segamat, Kluang dan Tangkak cerah setakat ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir petang ini kekal dengan 15 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Sungai Belakang, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Nipah Darat yang ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button