Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu menurun, Kelantan & Perak meningkat

KUALA LUMPUR,13 Dis (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Terengganu mencatatkan trend menurun manakala jumlah mangsa meningkat sedikit di Kelantan dan Perak setakat jam 8 malam ini.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan malam ini iaitu 435 mangsa berbanding 449 orang pada petang tadi, lapor Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang (JPBN).

Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di Temerloh adalah 258 orang berbanding 339 petang tadi manakala jumlah mangsa di dua PPS di Bera tidak berubah iaitu 35 orang.

Bagaimanapun, daerah Pekan mencatatkan peningkatan daripada 68 orang kepada 142 orang malam ini dan mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara di Sungai Miang.

Sungai Triang di Bera masih berada di paras bahaya manakala lima sungai berada di paras amaran iaitu Sungai Jempol dan Sungai Pahang di Lubuk Paku kedua-duanya di Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Belat, Kuantan dan Sungai Keratong, Rompin.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 80 orang daripada 24 keluarga berbanding 103 orang daripada 28 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN Terengganu, dalam kenyataan, memaklumkan setakat jam 9 malam ini sebanyak tiga PPS di tiga daerah masih beroperasi iaitu di Kuala Terengganu melibatkan 66 mangsa; Besut (12 ) dan Setiu (dua) manakala PPS terakhir di Kemaman (Balai Raya Padang Kemunting) dan Dungun (SK Tok Kah) telah ditutup petang tadi.

Di KELANTAN, seramai 2,018 orang mangsa banjir daripada 635 keluarga di jajahan Pasir Mas ditempatkan di tujuh PPS malam ini, meningkat sedikit berbanding 1,997 mangsa daripada 626 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan seramai 712 mangsa berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (73), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (251) dan SK Sri Kiambang (234).

Selain itu, di PERAK, seramai 154 mangsa daripada 40 keluarga masih ditempatkan di empat PPS sehingga jam 8 malam ini, sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding 143 orang petang tadi.

-Sekretariat JPBN negeri memaklumkan empat PPS tersebut adalah SMK Abd Rahman Talib (SMART) daerah Hilir Perak; Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Daerah Manjung; Dewan SK Slim River, Daerah Mualim dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali.

Di JOHOR, mangsa banjir kekal 51 orang setakat jam 8 malam ini berbanding petang tadi dengan Segamat menjadi satu-satunya daerah yang terjejas ekoran bencana itu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), sebanyak 15 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah berkenaan melibatkan Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat jam 6.55 petang tadi, amaran hujan lebat dan ribut petir dikeluarkan bagi daerah Johor Bahru, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi, sehingga jam 10 malam ini.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button