info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Jumlah Mangsa Banjir Di PPS Kelantan Bakal Dikurangkan, Patuh SOP

112views

KOTA BHARU, 12 Nov  — Jumlah mangsa banjir di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan nanti akan dikurangkan separuh daripada jumlah biasa selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Lt Kol (PA) Zainuddin Hussin berkata sebagai contoh, PPS yang menampung seramai 500 mangsa akan dikurangkan kepada 250 orang sahaja, dan jumlah PPS yang akan dibuka nanti mungkin lebih banyak bilangannya berbanding sebelumnya.

“Memang kita akui tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19, maka kapasiti di PPS perlu dihadkan. Pada masa sama jumlah PPS mungkin akan bertambah sekali ganda. Perkara itu akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan itu berkata setiap mangsa banjir juga akan diingatkan untuk menjaga penjarakan fizikal terutamanya antara keluarga masing-masing.

Beliau berkata pihaknya juga menimbangkan untuk tidak membuat kerja-kerja memasak di PPS secara bergotong royong (beramai-ramai), dan penyediaan makanan akan dikendalikan JKM, dengan makanan disediakan tiga kali sehari di dalam bungkusan.

“Langkah ini adalah bagi menjamin kebersihan makanan dan tidak digalakkan memasak sendiri kerana kita mengutamakan kebersihan ketika berada di PPS,” katanya.

Source link