Berita

Kabel Elektrik Di Bawah Jambatan Pulau Pinang Terbakar Semula

153views

GEORGETOWN, 23 Feb — Kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.2, di sini, yang mengalami kebakaran petang semalam dilaporkan terbakar semula pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.17 pagi tadi berhubung insiden terbabit.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Bandar Perda dengan bantuan BBP Paya Terubong ke lokasi bagi operasi memadamkan kebakaran itu.

“Operasi turut dibantu oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) serta agensi-agensi lain,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, kabel elektrik itu terbakar hingga mengakibatkan kesesakan luar biasa dari arah Pulau ke Seberang Perai.

Sebelum ini, pada September 2010, kejadian sama berlaku apabila tiga kabel kuasa tinggi terbakar di Jambatan Pulau Pinang, mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan pulau terutamanya di Bayan Lepas.

Source Link