Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKabinet setuju laksana tiga lagi intervensi tambahan tangani isu bekalan makanan

Kabinet setuju laksana tiga lagi intervensi tambahan tangani isu bekalan makanan

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Kabinet hari ini bersetuju dengan pelaksanaan tiga lagi intervensi tambahan bagi menangani isu bekalan makanan negara sekali gus merancakkan aktiviti pengeluaran makanan domestik.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata intervensi itu adalah Program Kebuniti Keluarga Malaysia, Program Stokpail Ikan Segar Beku Q-FISH serta penambahan abatoir dan loji pemprosesan luar negara.

“Program Kebuniti Keluarga Malaysia dengan peruntukan RM30 juta bagi 2022 dapat memanfaatkan hampir 1,350 penerima yang terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk komuniti, usahawan dan koperasi terlibat dalam rantaian pengeluaran pertanian komuniti.

“Program Stokpail Ikan Segar Beku Q-FISH pula sebagai persediaan untuk menampung bekalan semasa musim tengkujuh dan monsun melibatkan penyediaan kuantiti stokpail (simpanan stok) sebanyak 1,000 tan metrik dengan peruntukan RM7 juta,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi program itu, sebanyak 135 pasar nelayan dan 103 outlet sedia ada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dimanfaatkan sebagai saluran pasaran serta ejen baharu dengan fasiliti penyimpanan bakal diwujudkan di 222 kawasan Parlimen melibatkan peruntukan RM2.7 juta.

Ronald berkata inisiatif penambahan abatoir dan loji pemprosesan luar negara bertujuan meningkatkan serta mempelbagaikan sumber import bekalan ayam dan daging.

“Bagi bekalan ayam, pertambahan loji pemprosesan melibatkan 51 loji dengan 33 loji dari enam negara sumber sedia ada manakala 18 adalah sumber loji baharu yang dicadangkan dari lapan negara.

“Bagi bekalan daging/kerbau/kambing, pertambahan 94 abatoir ruminan baharu iaitu 82 abatoir di negara sedia ada dan 12 abatoir dari sembilan negara sumber baharu,” katanya.

Beliau juga berkata sejumlah 2,487 permohonan tuntutan subsidi bernilai RM178.16 juta telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Ini susulan keputusan kerajaan meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60 sekilogram dari 5 Feb hingga 30 Mac dan RM1.40 sekilogram bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun ini.

Ronald berkata Mesyuarat Kabinet hari ini turut mengambil maklum status bekalan makanan negara yang dibentangkan oleh MAFI dan secara amnya, ia masih mencukupi manakala bekalan ayam juga beransur pulih pada minggu pertama dan kedua bulan Jun 2022.

Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan terus bersidang secara mingguan untuk memperhalusi langkah dan intervensi.

Ini termasuk memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan susulan semua inisiatif serta langkah intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.

“Kerajaan memantau status sekuriti makanan negara secara berterusan dalam memastikan kebolehcapaian makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat dengan harga berpatutan secara berterusan oleh rakyat.

“Kerajaan juga prihatin terhadap pengeluar makanan yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan makanan kekal terjamin untuk Keluarga Malaysia,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular