Berita

Kajian Jalan Pintas Ke Cameroon Highlands Siap September

151views

CAMERON HIGHLANDS, 1 Apr — Kajian pembinaan jalan pintasan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat peranginan Cameron Highlands mengambil masa 13 bulan untuk disiapkan sebelum dibentangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman, berkata kajian itu membabitkan kawasan laluan dan jarak serta kos pembinaan termasuk beberapa aspek lain.

Beliau berkata, sebarang keputusan lanjut mengenai projek itu hanya akan dibuat selepas kajian yang mengambil masa lebih setahun itu diteliti JKR.

Katanya, kajian itu juga akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dan Pusat bagi kelulusan untuk dimuktamadkan berkaitan tanah.

“Setakat ini pihak perunding mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif, namun semua itu masih pada peringkat perbincangan membabitkan pelbagai perkara.

“Bagi laluan alternatif ia akan membabitkan laluan sedia ada, namun akan dinaik taraf dengan membesarkan jalan, selain menyediakan jalan pintasan di kawasan tertentu.

“Bagaimanapun, tiga laluan dicadangkan itu masih boleh diubah, mungkin sebahagian laluan A, kita akan guna separuh sebelum diteruskan ke laluan B. Ini mengikut kesesuaian berdasarkan hasil kajian dan pelaksanaan projek akan dilakukan JKR,” katanya selepas melakukan lawatan ke 11 tapak cadangan laluan bagi Kajian Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands di sini, semalam.

Norolazali berkata, kerajaan negeri berharap projek ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di kawasan pelancongan itu sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.

Beliau berkata, pembinaan laluan jalan pintasan di Cameron Highlands juga perlu dilakukan dengan sebaik mungkin, sekali gus dapat meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

“Kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands berlaku sejak beberapa tahun lalu berikutan pertambahan jumlah pelancong hingga tiga kali ganda terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan sehingga menimbulkan ketidakselesaan,” katanya.

Source Link