info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Kajian menyeluruh sebelum keluarkan permit kerja sementara

34views

KOTA KINABALU, 1 Nov — Kajian menyeluruh perlu dibuat terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan melaksanakan pengeluaran Permit Kerja Sementara kepada pendatang asing tanpa izin bagi mengatasi kekurangan pekerja asing di sektor perladangan dan perindustrian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata keutamaan harus diberikan kepada rakyat tempatan untuk bekerja di sektor berkenaan, memandangkan ketika ini ramai golongan muda dalam negara hilang pekerjaan kesan bahana penularan COVID-19.

“Ada kalangan mereka (rakyat) terpaksa pulang ke kampung untuk mengurus tanah terbiar, bekerja sebagai penghantaran makanan, berniaga kecil-kecilan untuk mencari sumber pendapatan bagi meneruskan hidup,” kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh parti berkenaan di sini hari ini.

Katanya peluang pekerjaan dalam sektor perladangan dan perindustrian perlu dinaik taraf supaya sektor ini dapat menarik perhatian golongan belia untuk menyertainya sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Jika peluang pekerjaan diisi oleh rakyat tempatan maka kita dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan wang itu boleh terus kekal dalam negara untuk merangsang ekonomi. Tawaran buat warga asing haruslah menjadi pilihan terakhir jika rakyat tempatan tidak dapat mengisi peluang pekerjaan di sektor berkenaan,” tambahnya lagi.

Jumaat lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sedang menimbang kemungkinan memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.

Source link