BeritaPolitik

Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Ikut Keadaan

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya bermula mengikut keadaan termasuk tamat tempoh tidak kurang selang lapan tahun daripada tarikh siap urusan kajian semula sebelumnya serta pindaan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap bahagian pilihan raya.

Beliau berkata ia terbahagi kepada tiga unit mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.

“Jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan kajian persempadanan semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.

“Namun sekiranya SPR memulakan urusan itu, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi berkata bagi maksud itu, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak akan berakhir pada 2023, Sabah pada 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada 2026.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu cadangan kerajaan untuk menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 Tahun 2021.

Selain itu, Wan Junaidi berkata ia turut melibatkan pindaan undang-undang dan apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, SPR hendaklah melaksanakan urusan kajian persempadanan semula dalam tempoh dua tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu.

Secara dasarnya, beliau berkata setiap pemilih akan mengundi berdasarkan bahagian pilihan raya yang ditetapkan namun jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor-faktor seperti kesulitan atau kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.

Katanya setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi dan ia juga tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button