Berita

Kalimah Allah : KDN Akan Putus Tindakan Susulan

149views

PUTRAJAYA, 11 Mac — Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis daripada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kalimah Allah.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, berkaitan isu kalimah “Allah” dan hal-hal lain yang dibawa oleh Jill Ireland Lawrence Bill terhadap kementerian itu.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan itu dan meminta semua pihak untuk menghormati proses perundangan dan kehakiman negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Keputusan kes itu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Source Link