Berita

Kastam P. Pinang Rampas 9.65 Juta Batang Rokok Seludup

164views

BUTTERWORTH, 11 Mei — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan penyeludupan rokok selepas merampas 9.65 juta batang rokok seludup bernilai RM7.08 juta termasuk cukai, dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 5 dan 7 Mei lepas.

Pengarah Kastam Pulau Pinang Abdul Halim Ramli berkata, Unit Siasatan Dalaman (USD) dan pasukan bahagian penguatkuasaan kastam Pulau Pinang, telah menahan sebuah lori yang membawa sebuah kontena di Jalan Teluk Gong, Pelabuhan Klang pada 8.30 malam 5 Mei lepas.

“Hasil pemeriksaan rapi terhadap kontena itu telah menemukan 4.95 juta batang rokok putih disyaki tidak berkaitan, melibatkan nilai anggaran RM396,000 dan cukai berjumlah RM3.171 juta, kami menahan pemandu lori  tersebut dan lori dibawa balik ke bahagian penguatkuasaan kastam Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

“Kami turut menahan seorang lelaki iaitu pengurus operasi sebuah syarikat penghantaran yang beroperasi di Klang, dipercayai syarikat yang digunakan sindiket tersebut untuk membawa masuk semua rokok yang dirampas berkenaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya pasukan yang sama sekali lagi telah menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 7 Mei dan pemeriksaan mendapati, terdapat 4.7 juta batang rokok seludup melibatkan nilai RM376,000 dan cukai sebanyak RM3.14 juta.

Abdul Halim berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki yang merupakan pengimport dan ejen penghantaran, bagi membantu siasatan kes serbuan kedua itu.

Katanya siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut dikendalikan oleh syarikat perkapalan dan syarikat penghantaran/logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, serta melalui dokumen diperoleh mendapati dagangan itu disyaki berasal dari sebuah negara Asia Timur.

“Modus operandi yang digunakan oleh kedua-dua sindiket itu adalah dengan mengikrar dagangan sebagai permaidani, namun sindiket tersebut membawa pelbagai rokok yang cuba diseludup ke negara ini untuk pasaran tempatan. Kami juga tidak menolak kemungkinan dua serbuan itu (sindiket) mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, empat lelaki berusia lingkungan 30-an itu direman untuk siasatan lanjut dan siasatan masih dijalankan termasuk mengesan beberapa pihak lagi, dipercayai terlibat dalam sindiket itu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

— BERNAMA

Source link