BeritaSukan

KBS Minta MSN Sedia Laporan Awal Insiden Penarikan Emas Muhammad Ziyad

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Majlis Sukan Negara (MSN) diminta untuk mendapatkan laporan awal insiden penarikan semula pingat emas jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli, di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau turut meminta MSN bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), menggerakkan Jawatankuasa Siasatan bagi melihat insiden itu secara menyeluruh.

Katanya jawatankuasa itu turut diminta, menyediakan pelan tindakan lanjut yang perlu diambil mengenai bantahan dan rayuan rasmi yang telah dilakukan, selain kaedah untuk menangani insiden sama sekiranya ia berlaku pada masa hadapan.

“Saya juga ingin menggesa untuk semua pihak tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa dalam hal ini.

“Tetapi yang paling penting agar semua pihak termasuk IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) dan Olahraga Para Dunia (WPA), melihat semula peraturan-peraturan termasuk yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan Muhammad Ziyad tetap akan disambut sebagai seorang wira kebanggaan negara, setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat ini.

Semalam, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo, selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) atau tidak memulakan saingan, susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa jaguh lempar peluru itu, lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval, diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m, yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata KBS memandang serius insiden tersebut dan berasa amat kesal dengan tatacara Jawatankuasa Penganjur, khususnya pihak WPA dan IPC dalam mempertimbangkan situasi serta keadaan sebenar, selain hasrat dan semangat temasya Paralimpik dianjurkan.

“Kita berasa kecewa bahawa dalam kita begitu setia berdiri di belakang IPC, menyokong temasya ini dilangsungkan dalam keadaan mengancam nyawa atlet-atlet kita, tetapi sedikit kelewatan kalau benar ia berlaku tidak dapat diberi pertimbangan sewajarnya.

“Apatah lagi atlet-atlet tersebut telah bersedia menunggu selama lima tahun, tetapi harapan dan semangat mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun lima minit. Bukan kepada seorang sahaja atlet tetapi melibatkan tiga atlet dari tiga negara, dan ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan,” jelasnya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button