Kebocoran data: JPDP, CSM lakukan pemeriksaan di pejabat AirAsia

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) — Pasukan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) telah melakukan pemeriksaan di AirAsia Aviation Group Ltd semalam, ekoran insiden kebocoran data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beberapa dokumen serta peralatan telah diambil oleh pegawai JPDP dan CSM yang memeriksa pejabat AirAsia itu untuk proses siasatan yang masih dijalankan berhubung insiden berkenaan.

Bercakap kepada media selepas majlis amanat bersama warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini, Fahmi yang ditanya mengenai punca kebocoran data pelanggan itu berkata beliau tidak dapat memberi penjelasan lanjut kerana siasatan masih berjalan.

“Saya cuma boleh melaporkan satu tindakan telah diambil dan tindakan tersebut diteruskan hari ini. Sehingga saya dapat maklumat lanjut, itu sahaja yang boleh saya komen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menafikan beliau mengeluarkan arahan bagi menyekat pendakwah terkenal, Dr Ridhuan Tee Abdullah daripada muncul dalam Forum Perdana Ehwal Islam.

Beliau berkata program tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.

“Tidak”, katanya ringkas sambil menggelengkan kepala.

Semalam dilaporkan seorang daripada anggota panel program itu, Ridhuan telah diganti dengan pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button