Berita

Kecewa Serina Berkahwin Di Thailand

107views

KUALA LUMPUR, 10 Apr — Chef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 63, mendakwa anaknya, Serina Redzuawan berkahwin dengan pegawai polis, Meor Mohammad Aidid sebelum lelaki itu bercerai.

Chef Wan mendedahkan, menantunya itu baru sahaja bercerai dengan bekas isteri, minggu lalu.

Tidak dapat menahan sebak ketika dihubungi, Chef Wan berkata, dia merestui perkahwinan anaknya, cuma kesal Serina membelakangkan orang tua apabila berkahwin di Thailand tanpa pengetahuannya.

“Serina datang ke restoran bersama Aidid dan rakan-rakannya, beberapa minggu lalu. Saya bertemu dengan mereka, tetapi Aidid hanya tunduk tidak angkat muka. Saya tak kata apa-apa. Saya berlalu pergi dan kemudiannya, menerima mesej Serina mahu memperkenalkan lelaki itu kepada saya.

“Saya bertanya mengenai status Aidid, Serina beritahu sudah bercerai. Mereka sudah mengenali sejak setahun lalu, tetapi baru dua kali bertemu. Saya nasihatkan Serina kenal dahulu hati budi dan tunggulah beberapa bulan lagi.

“Selepas bertemu Aidid buat kali pertama di rumah, saya tidak tahu sebenarnya mereka sudah berkahwin. Saya hanya tahu perkara sebenar, minggu lalu.

“Ini kerana pilihan Serina juga lelaki yang pernah berkahwin. Saya bertambah kesal apabila mengetahui Aidid baru sahaja bercerai dengan isteri pertama, minggu lalu.

“Bagaimanapun, apapun yang terjadi dengan perkahwinannya terdahulu, saya tidak mahu masuk campur, cuma saya hanya mahu dia bercerai secara baik, sebelum berkahwin dengan Serina. Tetapi, rupa-rupanya mereka sudah lama berkahwin di Siam, sebelum Aidid bercerai.

“Tidakkah mereka tahu apa sahaja yang dilakukan mempunyai impak kepada saya, dari segi kerjaya, perniagaan dan kehidupan peribadi. Adakah saya layak menerima semua ini selepas menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik?,” katanya.

Justeru, Chef Wan memohon orang ramai tidak terburu-buru meninggalkan komen yang tidak baik padanya tanpa mengetahui kisah sebenar daripada pucuk pangkal.

“Saya tidak membuat kesalahan untuk netizen menghakimi saya. Saya mengeluarkan kata-kata tidak elok, tidakkah mereka tahu betapa ‘patah hati’ saya.

“Netizen yang tidak tahu hujung pangkal juga menuduh saya cerewet. Siapa anda mahu menghakimi saya? Sudah banyak kontroversi dilalui, dari isu Serina dengan arwah Hani Mohsin, perkahwinannya terdahulu sehinggalah sekarang, tidakkah anda rasa saya banyak belajar dan perlu menasihatkan anak?

“Saya menasihatkan Serina ambil masa mengenali lelaki yang ingin dikahwini. Adakah salah nasihat saya? Daripada setiap insiden berlaku, sayalah yang kutip dan selesaikan. Saya jugalah membayar kos mahkamah berharga sekitar RM60,000 dan sampai hari ini, saya masih membayarnya,” katanya.

Disebabkan itu, Chef Wan berkata, dia nekad berkongsi kisah sebenar dalam laman sosial supaya netizen tidak membuat spekulasi dan menabur memfitnah.

Dalam masa yang sama, Chef Wan berharap, perkara ini menjadi iktibar pada anak muda agar tidak membelakangkan ibu bapa dalam soal perkahwinan.

Bagaimanapun, Chef Wan berkata, dia sudah memaafkan puteri sulungnya itu.

“Saya memaafkan Serina, tiada apa nak dikesalkan lagi, dia juga sudah berkahwin. Bagaimanapun, sudah tentu saya tidak boleh lupa.

“Terpulanglah pada Serina dan suami, saya hanya mahu perkahwinan mereka berhasil, bahagia dan jangan memalukan saya lagi. Cukuplah, kasihani saya,” katanya.

Semalam, Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram (IG). Bagaimanapun, Serina tidak berkongsi perincian mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air.

Menerusi perkongsiannya itu, Serina memaklumkan, perkahwinannya itu mendapat restu bapanya.

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.

Source Link