Berita

Kedah Tidak Bercadang Adakan Sidang DUN

103views

ALOR SETAR, 20 Jun — Kedah tidak bercadang untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara dalam talian atau hibrid, berikutan akan melaksanakannya selepas Parlimen bersidang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya tidak akan mengadakan persidangan dalam tempoh terdekat kerana masih terikat dengan ordinan darurat.

Katanya, bentuk persidangan DUN kelak bergantung kepada perkembangan semasa selepas Parlimen bersidang.

“Walaupun kita belum tahu bila persidangan Parlimen akan berlangsung, kita hanya akan adakan sesi sidang DUN Kedah selepas Parlimen bersidang. Secara semuka atau maya, kita tunggu perkembangan semasa.

“Secara lazimnya, persidangan DUN Kedah diadakan pada Julai atau Ogos, namun kali ini kita berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat menjelaskan jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Berdasarkan ordinan itu, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat.

Muhammad Sanusi, berkata sebelum sidang DUN diadakan, pihaknya akan meneliti dan merujuk kepada format dan prosedur operasi standard (SOP) Parlimen terlebih dahulu untuk dijadikan panduan.

Katanya, persidangan DUN Kedah berkemungkinan hanya membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati, namun persidangan boleh disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi kerajaan negeri.

Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November 2020, ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021.

Ia dilakukan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).