Berita

Kedai Emas Bakal Ditutup Kerana SOP

126views

KOTA BHARU, 1 Dis — Tindakan tegas boleh dikenakan ke atas kedai emas yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 termasuk, ditutup.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapati sehingga kini masih ada pemilik premis yang gagal menyediakan alat pemeriksaan suhu dan cecair pembasmi kuman.

Katanya, kesal dengan tindakan peniaga itu yang hanya memikirkan jualan dan keuntungan semata-mata, sekali gus mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan untuk mengelak penularan wabak.

“Sebanyak 23 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kedai emas dan pembeli dalam tempoh dua hari hingga semalam, dan kebanyakan kesalahan kerana kegagalan mematuhi SOP.

“Diakui semalam berlaku ketidakpatuhan di kedai emas seperti maklumat tular kerana harga emas rendah dan hasil pemantauan dibuat di seluruh Kelantan mendapati ada pembeli yang sanggup bertolak serta berebut untuk beli emas,” katanya ketika ditemui selepas Program Derma Darah Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan di kedai emas bagi memastikan insiden tidak berulang selain, menasihati pemilik kedai agar menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal pembeli.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, beliau berkata, tahap pematuhan penduduk semakin baik dan mencecah 95 peratus.

“Kita berharap orang ramai terus patuh dan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Source Link