Kedudukan Hajiji tidak terjejas dan empat ahli Parlimen tidak hilang kerusi

KOTA KINABALU, 112 Dis (Bernama) — Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan kehilangan kerusi masing-masing susulan keputusan keluar daripada parti Bersatu, menurut pendapat seorang peguam awam dan Perlembagaan, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad.

Peguam yang berpangkalan di Sabah itu berkata ini kerana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ahli Parlimen berkenaan bertanding sebagai calon GRS dan bukan sebagai calon Bersatu atau Perikatan Nasional (PN).

“Oleh itu, tidak berlaku pelanggaran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan memandangkan empat Ahli Parlimen itu dipilih di bawah GRS,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Semalam, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan Bersatu negeri itu sebulat suara keluar dan meninggalkan parti berkenaan tetapi tetap bersama di bawah GRS.

Perkara 49A menyatakan bahawa ahli parti politik yang telah dipilih ke Parlimen akan berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi ahli itu akan menjadi kosong serta-merta jika ahli tersebut meletakkan jawatan ahli partinya atau berhenti menjadi ahli.

Sementara itu, Tengku Fuad berkata keputusan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah meninggalkan Bersatu dan menjadi ahli GRS tidak akan menjejaskan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan kerajaan Sabah sekarang di bawah GRS dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ini kerana gabungan GRS-BN kekal kukuh dengan 46 ADUN, selain komitmen tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) menyokong Hajiji sebagai Menteri Besar dan tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan seorang calon Bebas turut menyokong kerajaan gabungan GRS-BN.

“Hajiji jelas mendapat sokongan daripada 57 ADUN, masih memiliki majoriti daripada 79 ADUN (termasuk enam ADUN dilantik) dan dengan itu terus mendapat keyakinan DUN mengikut  Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah,” katanya.

GRS sebelum ini terdiri daripada parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO bergabung dengan BN untukl mentadbir kerajaan negeri itu.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button