Berita

Kedutaan sumbang kuih raya hilangkan rindu warga Malaysia di Bangkok

87views

BANGKOK, 11 Mei  — Dalam suasana Aidilfitri yang bakal tiba, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, di sini, hari ini mengedarkan 200 set “Juadah Raya” untuk berkongsi kegembiraan sambutan itu dengan rakyat Malaysia yang tinggal di ibu negara Thailand itu.

Juadah itu termasuk kegemaran sepanjang zaman – rendang ayam dan lemang, kuih-muih dan kekacang – semuanya dimasak dan disediakan oleh pegawai dan kakitangan di kedutaan dan ahli keluarga mereka, dan diagihkan secara ‘pandu lalu’ kepada rakyat Malaysia melalui perkarangan kedutaan.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang dinanti-nantikan tidak dapat dianjurkan tahun ini untuk mematuhi larangan kerajaan Thailand terhadap perhimpunan awam dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

“Saya harap rakyat Malaysia dapat menikmati juadah itu dan merayakan Hari Raya secara sederhana semasa pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama selepas mengedarkan ‘Sumbangan Raya’ di kedutaan itu.

Kira-kira 2,000 orang rakyat Malaysia pernah menetap di Bangkok tetapi jumlah mereka kini belum dapat dipastikan kerana ramai yang telah pulang berikutan sekatan COVID-19.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Bangkok, Noor Baizura Mohamad Moktar juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang semasa Hari Raya ini.

Ibu berusia 39 tahun dari Sarawak itu mengirim bekal makanan dengan hidangan istimewa raya – rendang ayam, nasi impit, biskut dan kek lapis – kepada rakan karibnya yang tinggal di sini.

“Di tengah pandemik COVID-19, ramai di antara kita yang tidak dapat pulang beraya, oleh itu, saya menghantar hidangan dan biskut raya untuk rakan karib saya di sini.

“Saya harap hidangan ini mendekatkan kita walaupun berada jauh dari keluarga,” katanya.

— BERNAMA

 

Source link