Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaKehadiran ke Rumah Terbuka Aidilfitri zahirkan konsep Keluarga Malaysia

Kehadiran ke Rumah Terbuka Aidilfitri zahirkan konsep Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran luar biasa pengunjung ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 hari ini, menzahirkan konsep keluarga besar Malaysia yang diidamkannya iaitu Keluarga Malaysia.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis rumah terbuka pertama yang dihoskannya setelah dilantik menjadi perdana menteri  pada 20 Ogos 2021 serta barisan Kabinet beliau, yang menarik kehadiran pengunjung luar jangka serta pihak media yang mempromosikan majlis itu.

“Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada pihak yang bertugas termasuk penyedia makanan, penyambut tetamu dan petugas media, yang menghebahkan mengenai majlis rumah terbuka ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka di Seri Perdana itu berakhir.

Lebih 100,000 pengunjung direkodkan telah hadir ke majlis rumah terbuka itu dengan tema ‘Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri’. Anggaran awal kehadiran yang dibuat sebelum ini adalah lebih 70,000 pengunjung.

“Bagi saya, apa yang digambarkan pada hari ini dengan kehadiran begini ramai, berbilang kaum, menunjukkan Malaysia benar-benar seperti satu keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia yang saya idam-idamkan,” kata Ismail Sabri.

Akibat pandemik COVID-19, rumah terbuka tahunan itu tidak dapat diadakan selama dua tahun. Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.

Bernama

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular