info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kehadiran Penyokong Di Stadium Legakan Pasukan

49views

KOTA BHARU, 23 Dis — Kehadiran semula penyokong di stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akan memberi sedikit kelegaan kepada kelab yang dapat meraih pendapatan bagi menguruskan pasukan, kata Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Naib Presidennya Ahmad Muzakkir Hamid berkata selain pendapatan melalui penajaan, hasil jualan tiket merupakan satu lagi sumber  kewangan penting yang membantu meringankan beban kewangan pasukan.

“Saya yakin penyokong juga tidak sabar ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Saingan Liga M terpaksa ditangguhkan pada Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19 dan selepas empat bulan, pihak berkuasa membenarkan saingan bersambung semula namun tanpa kehadiran penonton di stadium.

Bagaimanapun, media baru-baru ini melaporkan Majlis Keselamatan Negara membenarkan penganjuran Liga M musim depan dengan kehadiran penonton yang dihadkan kepada 10 peratus daripada kapasiti stadium atau maksimum 4,000 orang.

Sementara itu Presiden Kelantan United (KUFC) Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kehadiran semula penyokong bakal menjadi pembakar semangat kepada pasukannya yang berhasrat mencabar kejuaraan Liga Premier musim depan dan seterusnya mara ke Liga Super pada 2022.

Source link