Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKEJORA belanja RM1.5 bilion bangunkan wilayah dalam tempoh 50 tahun

KEJORA belanja RM1.5 bilion bangunkan wilayah dalam tempoh 50 tahun

BANDAR PENAWAR, 2 Jun (Bernama) — Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion bagi membangunkan wilayah itu dalam tempoh 50 tahun sejak penubuhannya pada 1972.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata KEJORA yang juga sebuah agensi di bawah kementeriannya telah mencapai banyak kejayaan membanggakan sepanjang penubuhannya.

“Dari segi infrastruktur dan prasarana dari dahulu hingga sekarang dalam Wilayah KEJORA yang melibatkan jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, bekalan air dan bekalan elektrik boleh dikatakan kita telah mencapai 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Jubli Emas KEJORA di Dataran Tanjung Balau, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar KEJORA Datuk Mohd Rusdi Darus dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip.

Jelas Mahdzir, KEJORA juga berjaya membina 23,000 rumah kediaman di wilayah itu selain mewujudkan enam bandar baharu dalam tempoh 50 tahun.

Selain itu, KEJORA juga berjaya melahirkan 1,500 usahawannya dalam pelbagai sektor perniagaan dalam tempoh berkenaan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular