info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kejutan Anafilaksis Kerana Vaksin COVID-19 Sedia Ditangani Dan Boleh Diatasi

34views

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Sebarang kesan alahan, termasuk kejutan anafilaksis, berikutan pengambilan vaksin COVID-19, berupaya ditangani menerusi ubat dan mekanisme tertentu.

Kejutan anafilaksis berlaku apabila seseorang terdedah kepada makanan, ubat-ubatan, racun serangga dan lateks, sehingga menyebabkan saluran pernafasan membengkak serta tekanan darah tiba-tiba merudum.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Vickneshwaran Muthu, berkata kakitangan terlatih yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan melaksanakan rantaian proses tertentu, ketika suntikan pelalian diberikan.

Katanya, ini merangkumi pendaftaran, penilaian risiko, suntikan vaksin dan pemerhatian untuk mengesan sebarang kesan sampingan terhadap penerima.

“Kesan alahan, termasuk kejutan anafilaksis berikutan pengambilan vaksin akan segera berlaku, ia bukan hanya tercetus selepas beberapa hari.

“Ketika berada di PPV, kakitangan terlatih akan melihat semua kesan ini dan kita ada mekanisme untuk mengesan sebarang kesan sampingan atau alahan, malah mempunyai cara bagi menanganinya.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana menerusi simulasi yang dijalankan, kita sudah jangka perkara ini dan mempunyai pelan berkaitan, bagi mengendalikan sebarang isu berbangkit,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Bersandarkan fungsi sistem badan manusia, Dr Vickneshwaran berkata, penerima vaksin akan mengalami tindak balas tertentu selepas menerima suntikan.

Beliau berkata, ia antara lain merangkumi peningkatan suhu badan atau demam dan bengkak pada tempat suntikan, susulan tindak balas sistem pertahanan badan.

“Ini bukan kesan sampingan yang salah. Sebaliknya, memang dijangka untuk dialami penerima suntikan vaksin. Kita akan pantau semuanya menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Vickneshwaran berkata, pengambilan suntikan vaksin COVID-19 tidak diwajibkan kerana pengambilan berteraskan prinsip sukarela seperti digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, individu yang layak dan boleh menerima suntikan vaksin, tetapi tidak mengambil pelalian itu mungkin berdepan kekangan tertentu pada masa akan datang.

“Kekangan yang dimaksudkan ialah vaksin COVID-19 mungkin dijadikan prasyarat utama untuk kemasukan ke negara luar atau menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan pada masa akan datang.

“Jika anda layak dan boleh menerima vaksin, segera mendaftar serta ambil suntikan kerana penyakit tidak mengenal sesiapa. Risiko ini mampu ditangani menerusi vaksin,” katanya.

Source Link