info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Perniagaan

Kelangsungan Ekonomi Untuk Pastikan Momentum Pemulihan Kekal

34views

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Kelangsungan ekonomi tetap diberikan perhatian dalam memastikan momentum pemulihan dapat dikekalkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi memastikan usaha berkenaan dapat dicapai, kerajaan menyeru supaya rakyat bersama-sama memerangi wabak Covid-19 dengan sentiasa patuh pada amalan norma baharu.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan mempraktikkan amalan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan dan kesihatan serta kawalan kendiri dalam mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya dalam laporan Laksana ke-26 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ini, Kementerian Kewangan giat merangka Belanjawan 2021 di mana sesi bersama pelbagai kementerian diadakan untuk mempertimbangkan cadangan dan keperluan pengeoperasian dan pembangunan.

“Tiga matlamat utama Belanjawan 2021 yang bertujuan untuk melindungi, memulih dan menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Perkara paling utama diambil perhatian berkaitan kelangsungan ekonomi bagi memastikan usaha pemulihan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, beberapa hari lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan sudah memperuntukkan RM1.7 bilion bagi memerangi penularan Covid-19 yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri.

“Kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia untuk menambah peruntukan sekiranya diperlukan.

“Melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan turut menyalurkan peruntukan tambahan RM44 juta untuk mengukuhkan barisan hadapan kesihatan Sabah.

“Selain itu, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini juga sudah meluluskan peruntukan tambahan RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara,” katanya.

Source link