Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKelantan bakal terima lonjakan besar pembangunan ekonomi

Kelantan bakal terima lonjakan besar pembangunan ekonomi

KOTA BHARU, 19 Jun (Bernama) — Pembangunan ekonomi di Kelantan bakal mendapat lonjakan besar dengan kelulusan beberapa projek infrastruktur asas antaranya melalui Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata peruntukan yang tinggi ini adalah berikutan kerancakan projek-projek baharu di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 dan projek sambungan daripada RMK11 yang sudah tentu menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri itu.

Antaranya projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pembangunan Terminal Laut Bersepadu di Bandar Maritim Tok Bali, Lebuhraya Pantai Timur 3, Lebuhraya Utama Tengah dan Projek Laluan Rel Pantai Timur.

“Kelantan sebagai sebuah negeri yang mempunyai daya saing tinggi dari aspek ekonomi, mengimbangi pembangunan fizikal dan pembangunan insan.

“Oleh itu, kerajaan negeri meletakkan mekanisme siasah syariyyah dalam menjalankan pentadbiran  negeri bagi memelihara dan mengangkat maqasid shariyyah demi meraih sebuah negeri yang berkat, makmur dan berkebajikan,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’ di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular