Kelantan catat penurunan Kes baharu penghidap HIV sejak 2016

KOTA BHARU, 17 Dis (Bernama) — Kelantan mencatatkan penurunan jumlah kes baharu penghidap HIV sejak enam tahun lepas kepada 110 kes pada 2021 berbanding 232 kes pada 2016, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata perubahan landskap jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan penagih dadah suntikan juga menunjukkan trend penurunan secara konsisten.

“Bagaimanapun, kes jangkitan HIV dalam kalangan homoseksual menunjukkan peningkatan iaitu 49.1 peratus pada 2021 berbanding 15.9 peratus pada 2016.

“Daripada jumlah kes jangkitan HIV direkodkan pada 2021, 54 kes melibatkan kalangan homoseksual dengan tujuh kes adalah pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Kelantan yang bertemakan Equalize: Kesaksamaan Untuk Kesihatan Bagi Mengakhiri AIDS, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata penurunan kes HIV dan peningkatan rawatan yang telah dicapai bagaimanapun belum mencukupi untuk negara mencapai matlamat mengakhiri AIDS.

Menurutnya ketidaksamaan masih menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat dalam memastikan kesaksamaan kesihatan untuk semua atau ‘equalize’ sebagaimana tema sambutan tahun ini.

“Ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mesti dipertingkatkan agar semua orang mendapat perkhidmatan terbaik.

“Kita juga perlu benar-benar memahami HIV/AIDS untuk kita tangani stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh mereka yang hidup dengan HIV serta dalam kalangan populasi, agar mereka boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan rasa hormat dan dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, JKNK akan terus berkerjasama dengan Persatuan Perantaraan Pesakit-Pesakit Kelantan (SAHABAT), Pekerja Kesihatan Komuniti (PKK) SAHABAT dalam membantu mengesan kes berisiko dijangkiti HIV dalam kalangan komuniti untuk disaring dan dirujuk serta dirawat di fasiliti kesihatan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button