BeritaRencana

Kelantan Optimumkan Pengeluaran Air Terawat Sempena Aildilfitri

57views

KOTA BHARU, 10 Mei — Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan mengoptimumkan pengeluaran kapasiti air terawat bagi memastikan bekalan sumber itu mencukupi kepada seluruh penduduk negeri berkenaan sepanjang Aidilfitri ini.

Ketua Jabatan Operasi AKSB Mohd Ashri Awang berkata ini termasuk menyediakan 446 tangki statik serta 30 lori tangki berisi air terawat yang akan diletakkan dan digerakkan di setiap kawasan yang dikenal pasti sering mengalami kekurangan bekalan air terutama pada musim perayaan itu.

“Bagaimanapun, AKSB menjangkakan pada tahun ini, tidak akan ada banyak masalah bekalan air berlaku memandangkan kapasiti yang kita keluarkan dari loji adalah mencukupi dan peningkatan pengguna juga tidak akan berlaku secara mendadak seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Lokasi hotspot ini melibatkan kawasan di penghujung di seluruh jajahan Kelantan dan AKSB akan mengagihkannya (bekalan air menerusi tangki statik dan lori tangki) dua atau tiga kali sehari bergantung kepada keperluan pengguna di tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara purata harian, sebanyak 520 juta liter air disalurkan kepada lebih 260,000 akaun sedia ada atau 1.1 juta pengguna di Kelantan.

Ditanya sama ada jumlah penggunaan air akan meningkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah beberapa lokaliti di Kelantan turut dikenakan PKP Diperketatkan selain perayaan Aidilfitri, beliau berkata ia bergantung kepada tahap penggunaan pemilik akaun.

“Kalau mengikut kepada rekod terdahulu, semasa musim perayaan penggunaan air adalah sebanyak satu meter padu bagi satu rumah pada penggunaan normal dan dijangka meningkat kepada 1.2 meter padu.

“Sumber air ini penggunaannya bukan 24 jam dan lebih kepada kebersihan diri serta makan dan minum, jadi kalau kerap buat kuih pun, insya-Allah tidak memberi kesan kepada bekalan air,” tambahnya.

— BERNAMA

Source link