Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKelembapan di EU jadi risiko utama kepada eksport ASEAN

Kelembapan di EU jadi risiko utama kepada eksport ASEAN

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Kelembapan yang ketara dalam pertumbuhan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) menjadi risiko utama kepada eksport ASEAN dalam persekitaran kepentingan blok ekonomi itu sebagai pasaran eksport utama untuk kebanyakan negara-negara Asia Tenggara, menurut S&P Global Market Intelligence.

Ketua Ahli Ekonomi bagi Asia Pasifik Rajiv Biswas berkata “risiko yang lebih besar” untuk rantau ASEAN adalah daripada kejutan makroekonomi terhadap ekonomi utama di EU akibat perang Rusia-Ukraine, terutamanya melalui harga tenaga yang lebih tinggi dan potensi gangguan bekalan minyak dan gas Rusia kepada EU.

Beliau berkata eksport langsung Malaysia ke Rusia adalah sangat kecil, menyumbang kira-kira 0.3 peratus daripada jumlah eksport barangan Malaysia.

“Risiko yang lebih ketara ialah daripada kejutan ekonomi negatif iaitu perang Rusia-Ukraine terhadap ekonomi Eropah Barat berikutan EU menyumbang 8.4 peratus daripada eksport barangan Malaysia,” katanya dalam “Week Ahead Economic Preview” S&P Global Market Intelligence yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata eksport pembuatan Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang kukuh pada awal 2022, dengan pertumbuhan 17.8 peratus tahun ke tahun untuk empat bulan pertama tahun ini, dibantu oleh peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik, produk petroleum dan produk kimia.

Sebagai pengeksport utama komoditi, Rajiv berkata Malaysia turut mendapat manfaat daripada harga minyak dan gas dunia serta minyak sawit yang tinggi.

Eksport barangan perlombongan Malaysia meningkat sebanyak 60 peratus tahun ke tahun dalam tempoh empat bulan pertama 2022, dibantu oleh peningkatan nilai eksport untuk gas asli cecair dan produk petroleum.

Minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit menyumbang 7.8 peratus daripada eksport barangan Malaysia dari segi nilai pada 2021.

Disokong oleh harga minyak sawit yang meningkat, eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit Malaysia naik sebanyak 70 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2022.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular