BeritaCOVID19

Kematian Individu Bukan Alasan Tolak Pelalian

PUTRAJAYA, 12 Sept — Risiko kematian akibat jangkitan COVID-19 berkurangan dengan pengambilan vaksin dengan kira-kira 80 peratus berkesan terhadap jangkitan teruk, kemasukan ke hospital serta kematian.

Pensyarah di Kluster Infektomik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Kumitaa Theva Das, berkata apabila ramai orang mendapat pelalian, akan ada kematian yang membabitkan pelbagai punca.

Namun, katanya, itu bukan alasan untuk seseorang tidak mengambil vaksin terhadap jangkitan COVID-19, berikutan ia melindungi manusia terutama daripada gejala teruk.

“Walaupun seseorang itu dijangkiti, mereka mungkin tidak bergejala dan tempoh masa jangkitan juga lebih pendek, berbanding mereka yang tidak dijangkiti. Apa yang penting, vaksinasi menghalang daripada varian baharu daripada berlaku,” katanya.

Dr Kumitaa berkata, ketika ini ada lebih 90 kajian keberkesanan vaksin yang boleh diakses oleh orang ramai dan kajian juga mendapati kira-kira 60 peratus keberkesanan vaksin terhadap kes tidak bergejala, bagi penerima vaksin jenis AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac.

Katanya, vaksin juga mengurangkan risiko jangkitan bagi varian Delta yang lebih ganas sehingga kira-kira lapan kali ganda dan kemungkinan untuk dimasukkan ke hospital serta kematian sehingga 25 kali ganda.

“Jika kita ada sejuta individu dan 80 peratus sudah divaksinasi dengan keberkesanan purata sebanyak 80 peratus, ini bermakna seramai 800,000 sudah lengkap divaksinasi.

“Daripada jumlah itu, 2 peratus ada kemungkinan mendapat COVID-19 dengan gejala tetapi dengan 80 peratus keberkesanan terhadap jangkitan, menjadikan seramai 3,200 yang akan bergejala.

“Ada sebanyak 10 peratus kemungkinan mereka dirawat di hospital tetapi ada juga 80 peratus keberkesanan daripada kemasukan ke hospital. Jadi, ada 64 individu yang akan dimasukkan ke hospital dan daripada jumlah itu, ada satu peratus kemungkinan berlaku kematian atau kira-kira enam kematian,” katanya.

Mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican, yang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memperinci setiap kematian membabitkan individu yang lengkap vaksinasi pelalian COVID-19 untuk mengetahui punca, Dr Kumitaa berkata, semua pihak tidak boleh hanya melihat kepada angka dan membuat andaian sendiri.

Katanya, ketelusan KKM sejak akhir-akhir ini sememangnya membantu memberi kefahaman terhadap situasi semasa, namun ada banyak faktor lain yang boleh memberi kesan terhadap keberkesanan vaksin.

Beliau berkata, berdasarkan kepada kajian keberkesanan vaksin yang dijalankan di seluruh dunia, memang ada data penyurutan keberkesanan vaksin dalam kalangan mereka yang berusia 70 ke atas, selepas tempoh enam bulan dengan secara purata, penyurutan kira-kira 3 peratus sebulan.

“Di Malaysia, ada beberapa kumpulan yang melihat kepada keberkesanan vaksin dalam kalangan mereka yang mempunyai kekurangan imun. Dalam kalangan warga emas dan kumpulan ini, kita memang menjangka akan melihat penyurutan dalam keberkesan vaksin kerana mereka tidak mempunyai sistem imun yang kuat.

“Jenis vaksin, usia, gender, komorbiditi, pekerjaan juga faktor lain yang perlu juga dilihat bersama. Sebaik kita dapat memberikan pelalian kepada kebanyakan orang, lebih banyak juga maklumat yang kita perolehi.

“Kita akan mampu membuat keputusan yang lebih baik mengenai siapa yang seharusnya diberikan dos penggalak, jika ia diperlukan, dan bila ia perlu diberikan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Kumitaa berkata, ada pihak yang terus beranggapan mereka memerlukan dos penggalak apabila mengetahui berlaku penyurutan keberkesanan vaksin, sedangkan pengurangan antibodi selepas suntikan pelalian sememangnya dijangka serta tidak bermaksud seseorang itu lebih terdedah kepada jangkitan.

Beliau berkata, apabila melihat kepada kajian berdasarkan antibodi, ia menunjukkan paras antibodi berbeza-beza di antara pesakit, selain turut dipengaruhi faktor penyumbang lain.

Beliau berkata, walaupun kadar antibodi penting dalam memberikan perlindungan, sistem imun manusia juga mempunyai ketahanan lain yang terbina selepas jangkitan atau pelalian.

“Normal untuk paras antibodi menyurut selepas beberapa lama dan untuk sistem imun manusia mengingati jangkitan dengan sel memori B. Jika virus menyerang, sel ini akan bekerja keras menghasilkan antibodi untuk menyasarkan virus itu.

“Perlindungan seterusnya datang daripada sel T, yang akan memusnahkan sel yang dijangkiti serta mengehad penyakit menjadi teruk.

“Paras antibodi yang dihasilkan selepas vaksinasi lebih tinggi berbanding dengan antibodi yang dihasilkan selepas seseorang dijangkiti dengan virus Sars-CoV-2, “Jadi, ini juga bermaksud ada ambang tertentu yang menyebabkan apa saja selepas garis dasar itu tidak menerima lebih perlindungan, yang bermaksud penyurutan ini tidak semestinya memudaratkan,” katanya.

Dr Kumitaa berkata, pada masa akan datang, lebih banyak data mengenainya akan diperolehi di negara ini dan pada peringkat antarabangsa yang boleh memberi lebih pemahaman, jika semua memerlukan dos penggalak setiap tahun.

Katanya, ketika ini masih terlalu awal untuk perkara itu.

Beliau berkata, apa yang penting untuk semua individu mendapatkan pelalian sebelum mempersoal sama ada mereka memerlukan dos penggalak atau sebaliknya.

Katanya, jika wabak ini mahu dikawal, kesaksamaan vaksin juga amat penting kerana dengan memastikan lebih ramai mendapat pelalian secepat mungkin, ia bukan saja dapat melambatkan jangkitan malah menghalang varian baharu daripada berlaku.

Mengulas laporan portal berita mengenai penerima vaksin Sinovac menyumbang 710 daripada 922 kematian individu yang lengkap divaksinasi, Dr Kumitaa berkata, itu tidak bermakna ia vaksin yang tidak berkesan kerana ketika virus Sars-Cov-2 mula-mula muncul, semua vaksin yang dikaji dihasilkan untuk memberi perlindungan optimal terhadap virus asal.

Katanya, kemunculan varian baharu terutama Delta, mengubah peratusan keberkesanan vaksin dan perlindungannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun sedikit perlindungan yang diberikan, ia lebih baik daripada tiada langsung pelalian dan vaksin yang terbaik ialah yang paling cepat diperolehi.

“Jika anda menangguhkan janji temu anda kerana menunggu vaksin jenis lain, ia bermakna anda meningkatkan risiko untuk dijangkiti dengan COVID-19, sepanjang tempoh itu.

“Dengan data baharu yang diperolehi, ia akan memberi kita maklumat sama ada kita memerlukan dos penggalak atau sebaliknya.

“Pada masa sama, vaksin baharu juga sedang dihasilkan untuk meningkatkan keberkesana terhadap varian baharu.

“Sementara itu, kita perlu mainkan peranan untuk mendapatkan pelalian secepat mungkin dan mematuhi prosedur oeprasi standard (SOP),” katanya.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button