info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
BeritaPolitik

Kemelut Politik Perak Selesai

36views

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Kemelut politik melanda Perak susulan kegagalan undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sudah diselesaikan susulan pertemuan enam mata membabitkan kepemimpinan tertinggi UMNO, BERSATU dan PAS, hari ini.

Dalam pertemuan berlangsung di Bangunan Parlimen itu, ketiga-tiga pemimpin parti itu sudah mencapai kesepakatan untuk mengekalkan pentadbiran Perak di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassin, menerusi perkongsian di twitter, berkata permuafakatan dimeterai tiga parti itu demi rakyat Perak.

“Alhamdulillah, demi rakyat MUAFAKAT dimeterai. Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma.

“Tahniah Kerajaan PN Perak dikekalkan…. UMNO+PAS+BERSATU=#kitabertiga,” katanya menerusi ciapan itu sambil berkongsi gambar tiga pemimpin utama PAS, UMNO dan BERSATU menandatangani dokumen.

Pada pertemuan yang berlangsung itu, BERSATU diwakili Presiden yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili UMNO, manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pihak PAS.

Selain Takiyuddin, pertemuan itu turut disertai Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Source Link