info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kementerian Pertanian Sabah Wujudkan Lembaga Burung Walit

46views

KOTA KINABALU, 12 Nov — Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah akan mewujudkan Lembaga Burung Walit bagi memastikan industri berkenaan berkembang maju di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata lembaga berkenaan akan diwujudkan selewat-lewatnya Mac depan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum dapat direalisasikan.

“Industri (sarang burung) walit di Sabah mempunyai potensi yang begitu besar… di mana-mana pun ada burung walit, namun kita belum ada satu badan khas untuk menjaga industri burung walit ini dan sebab itu kementerian akan menubuhkan satu Lembaga Burung Walit Sabah.

“Lembaga ini kelak akan mengurus dan mengawal industri burung walit di Sabah. Untuk berjaya, kita mesti ada satu tunjang pengeluar burung walit dan kita sudah mengenal pasti tunjang ini dan industri ini akan berkembang maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemain industri burung walit  Sabah di sini hari ini yang turut dihadiri Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk James Ratib.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata tunjang yang telah dikenal pasti itu akan menjadi pengerusi lembaga berkenaan kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang tersebut.

“Semua pengeluar sarang burung walit yang kecil atau besar akan kita selaraskan melalui lembaga ini untuk pemprosesan dan pemasaran sehingga ke seluruh dunia dan ini juga akan mendatangkan keuntungan kepada negeri Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan untuk mewujudkan lembaga berkenaan, beliau berkata terdapat sejumlah peruntukan digunakan untuk mengaktifkan lembaga itu.

“…akan ada juga implikasi kewangan tetapi ini tidak menjadi masalah kerana industri ini dapat mengeluarkan banyak duit nanti… ia akan memberi keuntungan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Malaysia,” tambahnya.

Source link