Berita

Kementerian Sumber Manusia Lancar Tiga Skim Dibawah Pelan PENJANA

101views

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Tiga skim utama dilancarkan Kementerian Sumber Manusia yang memfokuskan kepada penempatan pekerjaan dan pekerjaan kendiri, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata skim yang dilancar menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) itu adalah di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melibatkan skim ‘Place and Train’, skim B40 Development dan skim Gerak Insan Gemilang (GIG).

Objektif inisiatif itu untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam memulihkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan memperuntukkan RM500 juta (RM250 juta dana kerajaan dan RM250 juta levi HRDF (PSMB)) bagi melaksanakan inisiatif ini.

“Setakat ini, PSMB menerima peruntukan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan dan ia telah pun digunakan sepenuhnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai bilangan pekerja yang dilatih dan mendapat penempatan pekerja setakat ini di bawah peruntukan RM500 juta melalui PSMB serta senarai majikan dan pusat latihan yang mendapat geran PSMB.

Memperincikan perkara itu, Saravanan berkata setakat 16 Okt 2020, PSMB meluluskan 35,938 pelatih bagi mengikuti skim-skim yang melibatkan penempatan pekerjaan dan pekerjaan kendiri.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,567 pelatih telah menamatkan latihan dan seterusnya mendapat penempatan pekerjaan mahupun pekerjaan kendiri. Di bawah inisatif ini, sebanyak 285 pusat latihan telah diluluskan bagi ketiga-tiga inisiatif ini.

“Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah penyedia latihan tertinggi iaitu 41.1 peratus, diikuti Kuala Lumpur (31.6 peratus), Pulau Pinang (4.9 peratus) dan Sabah (4.9 peratus),” kata beliau.

Selain itu, katanya mengikut pecahan pusat latihan berdasarkan kelulusan skim pula, skim Place and Train mencatat kelulusan paling tinggi dengan 200 pusat latihan diluluskan, diikuti skim GIG (58 pusat latihan) dan skim B40 Development (35 pusat latihan).

Beliau berkata dari segi jumlah majikan pula, sebanyak 397 majikan telah diluluskan di bawah skim Place and Train dan daripada jumlah itu, 97 peratus daripada sektor perkhidmatan manakala tiga peratus daripada sektor pembuatan.

— BERNAMA

Source link