Berita

Kempen ‘Kawal Lelah Sebelum Parah’ Tingkat Kesedaran Mengenai Asma

67views

KUALA LUMPUR (Bernama) — Menghidap penyakit asma atau lelah sejak kecil, Abdul Hadi Zulkifli yang berkhidmat sebagai guru sementara berasa amat cemas sejak pandemik COVID-19 merebak ke Malaysia.

Tambahan pula, ada laporan yang menambahkan lagi kebimbangan beliau iaitu individu yang menghidap asma berhadapan dengan risiko lebih tinggi untuk menjadi teruk jika dijangkiti COVID-19.

Meskipun penghidap asma berasa seakan ‘lemas’ bila mengenakan pelitup muka tetapi bagi Abdul Hadi, 28, beliau terpaksa memakainya setiap kali beliau perlu keluar dari rumah.

“Bayangkan, bagi mereka yang menghidap asma seperti saya, datanglah rasa loya dan sukar bernafas dengan betul. Pakai pelitup muka menjadikan saya begitu gelisah. Kalau saya rasa dada ketat, saya perlu segera mengambil alat penyedut saya (inhaler) yang akan mengurangkan simptom lelah, “ katanya.

Asma adalah penyakit jangka panjang paru-paru yang boleh menyebabkan saluran udara dalam sistem pernafasan menjadi bengkak dan sempit, menyebabkan kesukaran bernafas.

Menurut Global Asthma Report 2018, asma memberi kesan kepada 339 juta orang di seluruh dunia. Menjelang 2025, jumlah ini dijangka meningkat kepada 400 juta. Di Malaysia, terdapat sekitar dua juta orang pesakit asma.

RISIKO LEBIH TINGGI

Menurut Global Initiative for Asthma (GINA), yang berkhidmat untuk profesional penjagaan kesihatan dan pegawai kesihatan awam di seluruh dunia, dalam laporannya untuk tahun 2020, banyak bukti menunjukkan individu yang menghidap asma sederhana hingga peringkat teruk mungkin berhadapan risiko tinggi jatuh sakit akibat COVID-19.

GINA adalah sebuah pertubuhan, berpangkalan di Amerika Syarikat, yang berkhidmat untuk profesional kesihatan awam dan pegawai kesihatan awam di seluruh dunia bagi mengurangkan berlakunya asma serta kematian akibatnya.

COVID-19 memberi kesan kepada sistem pernafasan dan boleh menjadi punca mereka yang menghidap asma, kemungkinan pula mendapat pneumonia serta penyakit pernafasan akut, demikian menurut laporan tersebut.

Menurut laporan GINA itu, penggunaan ‘nebuliser’, apabila boleh dilakukan, perlu dielakkan jika penghidap asma mendapat serangan akut kerana risiko menjangkitkan COVID-19 kepada pesakit lain atau kepada doktor, jururawat dan pegawai kesihatan lain.

Nebuliser adalah alat untuk menukar ubat dalam bentuk cairan yang akan disembur sebagai wap untuk dihirup oleh penghidap asma untuk masuk ke dalam paru-paru.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, juga menyatakan bahawa kehadiran COVID-19 menambahkan kebimbangan kepada penghidap asma kerana mereka kurang memberi penjagaan kepada penyakit mereka dan berisiko tinggi mengalami komplikasi daripada jangkitan tersebut.

MEMBAHAYAKAN

Sementara itu, laporan GINA Report 2020, juga mengemas kini garis panduan terkini pengurusan asma. Ia tidak lagi mengesyorkan alat penyedut SABA bagi mengurangkan simptom asma dan turut menekankan bahaya menggunakannya secara berlebih-lebihan, iaitu lebih daripada dua kali seminggu.

Menurut laporan itu: “Mereka yang menghidap asma perlu meneruskan semua pengubatan menyedut termasuk inhaled corticosteroids (ICS) seperti yang diberikan oleh doktor. Untuk serangan asma akut, pesakit perlu segera berjumpa doktor bagi mencegah keadaan mereka menjadi bertambah teruk.

Doktor perunding pernafasan yang juga pengasas bersama Asthma Malaysia, Dr Helmy Haja Mydin yang juga menyokong laporan GINA itu, berkata pengunaan atau pergantungan secara berlebih-lebihan kepada alat penyedut SABA boleh membuatkan pesakit beranggapan penyakitnya tidak teruk yang boleh meningkatkan kadar kematian.

“Pesakit yang memerlukan alat penyedut mereka lebih daripada dua kali seminggu tidak mempunyai kawalan asma yang baik dan ini boleh meningkatkan risiko serangan asma yang teruk.

“Perlu difahami sekiranya pesakit menggunakan alat penyedut, keadaan penyakit asmanya akan berpanjangan dengan peningkatan risiko komplikasi, “ kata beliau ketika ditemui baru-baru ini pada pelancaran Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Kempen itu adalah anjuran bersama Asthma Malaysia dan syarikat biofarmaseutikal, AstraZeneca Malaysia dan ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pengurusan asma yang betul.

Garis panduan pengurusan asma yang baharu mengesyorkan kombinasi ICS di samping pengubatan untuk mengurangkan serangan asma.

ICS bertindak sebagai pengubatan pengawal yang mengurangkan penderitaan teruk, terutamanya bagi mereka yang tidak menjaga penyakit asmanya dengan baik.

Menurut Dr Helmy,  meskipun asma tidak dapat disembuhkan, ia boleh dikawal, antaranya dengan pengurusan simpton yang baik dan penggunaan pengubatan mengurangkan kesan serangan asma tidak lebih daripada tiga kali seminggu.

“Bagaimanapun, hanya enam peratus pesakit asma mencapai kawalan asma yang baik kerana gagal dan tidak mematuhi nasihat rawatan, “ katanya.

DIDIK ORANG RAMAI

Mengenai Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah , Dr Helmy berkata Asthma Malaysia berganding bahu dengan pelbagai pertubuhan profesional serta entiti swasta untuk mendidik orang ramai serta profesional penjagaan kesihatan, mengenai kepentingan memutuskan rantaian pergantungan berlebihan terhadap alatn penyedut SABA,

Kempen tersebut dilancarkan oleh Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Jemilah Mahmood.

Presiden AstraZeneca (Malaysia), Dr Sanjeev Panchal, yang turut hadir pada pelancaran kempen terebut berkata, “ Kami ambil maklum ada jurang dalam penjagaan pengurusan asma secara keseluruhan, dan oleh itu adalah penting untuk kami bekerjasama dengan pertubuhan yang betul untuk mewujudkan ekosistem holistik yang dapat memberi manfaat serta sokongan kepada pesakit.”

Menurut beliau, usaha kerjasama itu adalah amat bermakna kerana ia membolehkan mereka mewujudkan ekosistem yang berpusatkan pesakit bagi menangani jurang dalam rawatan pesakit asma.

“Kami juga mahu memperkasa serta membantu mereka memainkan peranan aktif dalam menguruskan kesihatan mereka, “ katanya.

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

Source link