Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaKempen ‘Meriah Raya’ UDA Holdings galakkan pemilikan hartanah 

Kempen ‘Meriah Raya’ UDA Holdings galakkan pemilikan hartanah 

KEPALA BATAS, 28 Mei (Bernama) — UDA Holdings Bhd menumpukan langkah memperkasakan gaya hidup lestari menerusi usaha mempertingkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan rakyat dengan menganjurkan kempen hartanah ‘Meriah Raya’.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kempen yang bermula pada 26 April hingga 31 Mei di seluruh negara itu juga bertujuan mempromosikan pelbagai produk hartanah sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Inisiatif ini merupakan platform untuk memperkenalkan produk-produk terkini UDA merangkumi unit kediaman serta komersial di empat wilayah iaitu Utara (Pulau Pinang), Selatan (Johor), Timur (Pahang dan Terengganu) serta Tengah (Selangor dan Kuala Lumpur).

“Kempen hartanah Meriah Raya ini adalah rentetan kejayaan kempen ‘UDA 50 Golden Offers’ yang diperkenalkan sempena ulang tahun ke-50 UDA pada 2020,” katanya ketika berucap di majlis Meriah Raya UDA 2022 di sini pada Sabtu.

Sepanjang kempen Meriah Raya, UDA menawarkan pakej ganjaran berganda seperti rebat istimewa dan pemilikan mudah.

Antara projek yang diketengahkan sepanjang kempen ini ialah Residensi Akasia Jubilee, Legasi Kampong Bharu dan 38 Bangsar di Kuala Lumpur; Crescent Dew dan Wakaf Seetee Aisah 2 di Pulau Pinang; Pisonia Ville Fasa 2 di Johor; Pelindung Heights Fasa 3 di Pahang; serta Coast Kemaman dan Sarai di Terengganu.

Projek Pisonia Ville Fasa 2 akan dilancarkan di Johor esok bagi memenuhi permintaan tinggi dan kejayaan pakej pertama yang habis dijual dalam tempoh yang agak singkat sebelum ini, katanya.

Norliza berkata bagi Pulau Pinang, UDA Holdings terus bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam usaha membangunkan kawasan perumahan kos rendah dan mampu milik di tanah-tanah wakaf.

“Kita juga telah mengenal pasti tanah-tanah wakaf di bahagian pulau seperti Jelutong dan Sungai Nibong Kecil,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Beliau berkata rentetan kejayaan pembangunan Wakaf Seetee Aisah 1 di Bandar Seberang Jaya di sini pada 2012, UDA Holdings kini meneruskan usaha dengan projek Wakaf Seetee Aisah 2 yang akan menyaksikan pembinaan lebih 400 unit rumah kos rendah dan mampu milik.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular