Sabtu, Jun 25, 2022
HomeArtikelKemurungan Bukan Gila

Kemurungan Bukan Gila

Sejak negara dilanda pandemik Covid19, kerajaan telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ramai terkena tempias seperti perniagaan tidak dapat beroperasi, gaji dipotong hingga 50 peratus malah ada yang diberhentikan kerja kerana syarikat ingin mengecilkan operasi.

kehidupan agak sukar ketika itu terutama sekali kepada mereka yang telah diberhentikan kerja. Ramai yang mengalami tekanan hidup. Duit simpanan sudah habis digunakan untuk membayar sewa rumah, membeli bekalan makanan dan keperluan bayi.

Seringkali kita melihat beberapa kes yang berkaitan dengan insiden bunuh diri. Bukan sahaja di sekitar Lembah Klang, malah di negeri-negeri lain pun ada juga dilaporkan kes sebegitu berlaku.

Masih ada segelintir yang bertanggapan bahawa mereka yang membunuh diri itu mempunyai karektor yang lemah jiwanya atau imannya terlalu nipis. Pemikiran sebegitu sememangnya salah. Faktor paling utama kes-kes sebegini ialah depresi, atau lebih dikenali sebagai kemurungan.

Kemurungan ialah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu berasa sedih yang berpanjangan, keletihan, ketiadaan tenaga atau keinginan untuk melakukan apa-apa dan menjadi cepat marah. Penyakit ini boleh berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa hingga 2 minggu. Ia tidak memilih mangsa, sesiapa sahaja boleh terkena tidak kira jantina, agama, bangsa dan umur. Kebiasaannya kemurungan boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun mengikut kadar kemurungan pesakit.

Antara punca utama kemurungan ialah ketidakstabilan hormon Serotonin didalam badan. Serotonin ialah sejenis hormon yang berfungsi sebagai pembawa maklumat antara saraf ke otak melalui tubuh badan kita. Ianya memainkan peranan penting kepada sistem tubuh badan dalam perubahan mood, keadaan untuk mendapat tidur yang nyenyak, sistem penghadaman nutrien, pembekuan darah dan daya keinginan seksual.

Terdapat juga punca daripada baka keturunan. Akibat membawa genetik yang mempunyai ketidakstabilan hormon Serotonin, seseorang itu juga mudah untuk mengalami kemurungan. Peranan sekitar juga memainkan peranan utama sebagai punca seseorang itu kemurungan seperti ketiadaan sokongan daripada sekeliling apabila seseorang itu dilanda kesempitan hidup, sejarah lama daripada keluarga yang bermasalah dan juga mendapat tekanan daripada tempat kerja, rakan-rakan dan juga jiran sekitar.

Di dalam kepercayan Melayu, ada disebut sebagai penyakit meroyan. Ianya biasa berlaku kepada wanita yang baru melahirkan anak. Meroyan ini merupakan penyakit kemurungan. Ia biasa berlaku dikalangan wanita yang tidak mendapat layanan yang baik ketika didalam fasa berpantang selepas bersalin. Malah ada yang mendapat tekanan daripada keluarga dan mertuanya sendiri.

Kehilangan insan yang tersayang juga menjadi punca seseorang mengalami kemurungan. Sebab itu apabila berakunya kematian, kita haruslah menghormati keluarganya. Mereka sedang bersedih lagi-lagi pasangan si mati tersebut. Berilah mereka kata-kata semangat, ringankanlah bebanan yang ditanggung mereka.

Terdapat tanda-tanda yang kita boleh melihat dengan jelas jika seseorang itu mengalami kemurungan. Antaranya ialah:

  • kesedihan yang berpanjangan,
  • hilang minat kepada aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya menjadi kegemarannya,
  • mudah rasa marah,
  • selalu berasa diri sendiri tidak berguna pada masyarakat,
  • tidur tidak menentu,
  • kurang daya tumpuan dan ingatan,
  • rasa “lebih baik mati” dan ada percubaan bunuh diri,
  • hilang nafsu seksual,
  • mudah cemas dan mengalami fobia berpanjangan.

Penyakit kemurungan sebenarnya boleh dirawat. Lebih 80% pesakit dapat disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang teratur dan tertib. Antara rawatan kemurungan yang mudah diperolehi di hospital-hospital ialah penggunaan ubat ‘Anti-depressant’. Ubat ini mampu berikan ketenangan kepada pesakit.

Kaedah lain ialah Terapi Elektrokonvulsif, dimana pakar akan mengalirkan elektrik dalam arus yang kecil kepada otak bagi membangkitkan kembali sel-sel otak supaya menjadi aktif dan mempunyai kesedaran minda seperti sediakala.

Kebiasaannya pakar psikiatri akan jalankan kaedah psikoterapi dan kaunseling bagi mengenal pasti tahap kemurungan seseorang. Hasilnya barulah mereka akan tentukan samada pesakit perlu jalani rawatan yang mana atau cuma jalani rawatan psikoterapi sahaja.

Jika anda rasakan bahawa diri anda mempunyai ciri-ciri tersebut, jangan buang masa, segera berjumpa sama pakar bagi mengubati kemurungan sebelum ianya menjadi lebih parah. Apabila ianya menjadi lebih teruk, agak sukar untuk mengembalikan kepada diri anda yang normal.

Ingatlah, kemurungan bukan gila.

Iskandar Mohamad Ali

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular