info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kenaikan Harga Minyak Masak, Jangan Ambil Kesempatan Di Atas Kesempitan – Ahmad Zahid

58views

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga minyak masak.

Jelas beliau, perbuatan tersebut dinamakan seperti ambil kesempatan di atas kesempitan yang ternyata memberi kesan kepada rakyat apatah lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Janganlah melampau sangat. Harga minyak masak lima kilogram (kg) dilapor naik mendadak lebih RM30 sejak seminggu lalu.

“Meningkat hampir RM5 setiap botol berbanding RM23.90 hingga RM27.90 pada Ramadan lalu.

“Pada waktu PKP 3.0 inilah mereka mahu naikkan harga. Tidak tahukah rakyat sedang susah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, lebih-lebih lagi bantuan tunai yang diberikan kerajaan juga tidak terlalu banyak malah berkemungkinan mengambil masa untuk diterima.

Beliau juga memohon kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini dan tidak lepas tangan.

“Sila main peranan bantu rakyat jangan terus menerus beri alasan kerajaan tidak kawal harga minyak masak dalam botol.

“Jangan beri alasan harga minyak sawit mentah telah naik maka harga minyak masak pun naik, jika begitu apa peranan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban masyarakat?” ujar beliau.

Ahmad Zahid menambah ini kerana minyak masak adalah di antara barangan keperluan yang penting dalam kehidupan rakyat.

“Ada cadangan minyak masak botol dimasuk dalam senarai barangan kawalan seperti pek sekilogram.

“Kerajaan yang bertanggungjawab akan meneliti cadangan ini demi kesejahteraan rakyat.

“Bukan belum apa-apa telah beri seribu alasan. Akhirnya rakyat juga ditekan kiri kanan atas dan bawah,” katanya. – UMNO Online