Berita

Kenapa Ramai Kecewa Tiada ‘Total Lockdown’ – Asyraf

123views

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Dengan peningkatan kes covid-19 yang kian parah, rakyat lebih rela ‘Total Lockdown’ untuk tempoh 14-21 hari berbanding hadapi situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan, demikian menurut pandangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya data dan Sains juga menunjukkan kilang-kilang milik Towkay dan MNC penyumbang terbesar hingga 50% penularan wabak COVID-19, tapi terus dibenar beroperasi sedangkan peniaga kecil, penjaja, pengusaha kantin, pekerja gaji hari dan lain-lain berhadapan situasi ‘buka-tutup’ tiada penghujung.

“Tiada jaminan penularan COVID-19 dapat dikekang sekiranya kilang-kilang tetap beroperasi walau PKP diperketatkan. Realitinya, pekerja-pekerja kilang bukan tinggal dalam kompaun kilang. Mereka tinggal dalam komuniti, berbeli belah di pasaraya sama dengan masyarakat.

“Contoh di kawasan saya tinggal Petaling Jaya, pekerja kilang tinggal di flat-flat, berbeli belah di Giant, Tesco, Bintang seperti orang lain. Kerajaan di persepsi rakyat hari ini terlalu nak jaga hati tauke-tauke besar dan para kapitalis yang berorientasikan memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhain,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi tiada pengumuman sebarang bentuk bantuan khas, i-Sinar 2.0, i-Leatari ataupun lanjutan moratorium di kala rakyat dihimpit kesulitan dan sudahpun mulai terdesak akibat PKP separuh masak dan ‘buka-tutup’ berlanjutan.

“Suasana krisis pandemik yang luar biasa hari ini tak boleh nak penuhi semua perkara dalam satu masa. Utamakan yang perlu diutamakan. Nyawa lebih mustahak daripada ekonomi. Selamat nyawa selamat ekonomi.

“Lebih baik kita utamakan tangani COVID-19 sehingga ke tahap sangat minimum daripada berterusan mengenakan perintah PKP ‘separuh masak’ yang lebih menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka panjang,” tegasnya.

Justeru tegasnya lagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi meminta Kerajaan menilai semula keputusan yang diambil kelmarin untuk tidak mengenakan Perintah PKP secara sepenuhnya sebelum keadaan menjadi lebih parah.- UMNO Online

Source link