Berita

Kenyataan Nazri Aziz Boleh Gugat Kestabilan Politik – Wan Saiful

133views

KANGAR, 5 Apr — Semua pihak, khususnya parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) digesa menghentikan kecaman terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata mereka sebaliknya perlu memfokuskan tanggungjawab dan amanah dalam membantu rakyat.

Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang melabelkan menteri UMNO yang enggan meletak jawatan dalam Kabinet PN sebagai pengecut boleh menggugat kestabilan politik semasa.

“Dalam kalangan ahli BERSATU, ramai yang marah, ramai yang kecewa serta ada yang rasa gusar terhadap kenyataan sedemikian.

“Kenyataan ini menggugat kestabilan politik yang ada. Kita kena ingat bahawa yang penting sekarang kita nak politik negara kita stabil supaya kita boleh menarik pelabur asing dan domestik datang untuk melabur dalam negara.

“Malah, kerajaan yang stabil juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak. Jadi, kenyataan (Nazri) itu tak membantu sehingga menyebabkan ada dalam kalangan ahli serta pimpinan BERSATU terpaksa menyuarakan pandangan agak tegas berhubung isu ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kayuhan Jalinan Kasih@CSR TVET di Kuala Perlis, hari ini.

Sebelum ini, Nazri menyindir kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam memastikan semua menteri dan timbalan menteri UMNO meletak jawatan dalam kerajaan.

Sementara dalam isu undi 18 tahun, Wan Saiful berkata, BERSATU tetap berpendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menyegerakan keputusan membenarkan individu berusia 18 tahun untuk mengundi.

Malah, katanya, segala kekangan yang ada perlu diperbaiki segera agar hak mengundi ini boleh diberikan.

Source Link