info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Perniagaan

Kerajaan Agih RM12 Bilion Melalui Program Subsidi Upah

37views

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Program Subsidi Upah (PSU) yang diperkenalkan di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) merekodkan penyaluran hampir RM12 bilion subsidi setakat 9 Oktober lalu.

Untuk tempoh berkenaan sebanyak RM11.996 bilion subsidi upah diluluskan untuk memanfaatkan lebih 322,134 majikan serta lebih 2.6 juta pekerja.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif berkenaan antara lain untuk memastikan majikan dapat mengekalkan pekerja mereka.

“Sejak diperkenalkan April lalu, lebih 300,000 majikan memanfaatkan subsidi ini bagi memastikan lebih 2.6 juta pekerja masih mempunyai pendapatan.

“Malah, ia kini dilanjutkan sekali lagi bagi tempoh antara tiga dan enam bulan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin (Kita Prihatin) yang diumumkan 23 September lalu,” katanya dalam laporan Laksana ke-26 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Di bawah program ini, kerajaan memberikan subsidi upah kepada majikan bagi membantu pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Bagi majikan yang memiliki pekerja lebih 200 orang, mereka akan menerima subsidi RM600 untuk setiap pekerja manakala majikan yang mempunyai 75 hingga 200 pekerja akan menerima RM800 untuk setiap pekerja.

Bagi majikan yang memiliki 75 pekerja ke bawah, akan diberi subsidi RM1,200 setiap pekerja.

Di bawah Kita Prihatin, kerajaan melanjutkan inisiatif ini menerusi pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 membabitkan peruntukan bernilai RM2.4 bilion.

Ia diberikan kepada majikan yang masih terjejas iaitu syarikat yang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu.

Subsidi diberikan selama tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 orang.

Permohonan dibuka sejak 1 Oktober lalu hingga 31 Disember ini.

Source link