Kerajaan akan terus bantu penjaja dan peniaga kecil

PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) — Kerajaan memberi komitmen untuk sentiasa membantu golongan penjaja dan peniaga kecil agar terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata ramai daripada golongan itu amat memerlukan bantuan kerajaan selepas terkesan dengan penularan COVID-19, terutama mereka yang menjadikan peniagaan sebagai punca utama pendapatan.

Selain itu, katanya bencana alam seperti banjir turut memberikan impak besar terhadap kehilangan harta benda yang mengakibatkan sebahagian perniagaan terpaksa menanggung kerugian besar.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Ewon berkata berdasarkan kajian, sebanyak 97 peratus usahawan menyatakan hasrat untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat COVID-19, iaitu dalam tempoh itu sebanyak 57.1 peratus perniagaan di kawasan bandar gulung tikar.

Katanya kajian itu juga mendapati usahawan memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk geran, pembiayaan serta latihan dan bimbingan.

HPPK disambut pada 18 Nov setiap tahun bagi menghargai sumbangan golongan penjaja dan peniaga kecil terhadap ekonomi negara.

Bertemakan “Kesepaduan Penjaja dan Peniaga Kecil Penjana Ekonomi Negara”, sambutan tahun ini menghimpunkan lebih 2,500 penjaja dan peniaga kecil dalam konvensyen satu hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Selain eskpo dan pameran, acara itu juga menyediakan maklumat perniagaan dan peluang pembiayaan serta pemasaran.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button