Berita

Kerajaan Belanja RM2.8 Trilion Bagi Program Imunisasi Kebangsaan

113views

PUTRAJAYA, 27 April — Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.8 trilion untuk rakyat Malaysia sehingga kini bagi program imunisasi kebangsaan sejak diperkenalkan pada 1957, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ini, katanya merangkumi jumlah kos imunisasi bagi setiap rakyat iaitu kira-kira RM150 yang diberikan secara percuma.

“Ia membuktikan komitmen kerajaan bagi meningkatkan tahap perlindungan masyarakat seterusnya mencapai imuniti kelompok bagi mengekang penularan penyakit seperti polio dan tuberkulosis yang berpotensi membawa maut,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Sambutan itu diadakan sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang biasa disambut pada 24 hingga 30 April setiap tahun dan tema sambutan tahun ini ialah ‘Vaksin Menyatukan Kita Semua’.

Dr Adham berkata perkhidmatan imunisasi dalam negara tetap diteruskan biarpun negara berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya pada tahun lepas dengan mengambil kira kepentingan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak.

“Kini, pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi dan mencapai sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi,” katanya.

Dengan menekankan kepentingan imunisasi, beliau turut memberikan contoh angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang melalui pelbagai latihan dan cabaran sebelum terpilih sebagai calon untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007.

“Beliau terpilih kerana sihat tubuh badan dan mempunyai imuniti kuat. Bayangkan beliau tidak divaksinkan dan mungkin tidak lulus ujian yang ditetapkan yang menghalang beliau ke ISS,” kata Dr Adham.

Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, beliau berkata sehingga Ahad lepas, 78 peratus petugas barisan hadapan telah selesai diberikan dos vaksin lengkap dalam fasa satu manakala bagi tempoh sama, seramai 65,224 orang telah diberikan dos pertama dalam fasa kedua.

Beliau berkata hebahan mengenai program berkenaan akan diperluaskan melalui pihak institusi keagamaan berkaitan hukum pengambilan vaksin, pakar akademik mahupun badan bukan kerajaan agar rakyat tidak sangsi dengan pengambilan vaksin, sekali gus dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus populasi yang telah menerima vaksin.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Coffee Table Book program imunisasi kebangsaan yang dihasilkan dengan kerjasama program kesihatan awam dan Program Immunise4Life yang memperincikan hasil temu ramah dengan pengurusan tertinggi KKM dan individu penting dalam menjayakan program imunisasi kebangsaan setakat ini.

— BERNAMA

Source link