info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kerajaan Boleh Ambil Alih Negeri Pembangkang Ketika Darurat – Ahmad Marzuk

63views

KUALA LUMPUR, 24 Jan — Pengisytiharan darurat bukan bermotifkan politik sebaliknya bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata jika pengisytiharan darurat dibuat bermotifkan politik, kerajaan sudah tentu akan mengambil alih pentadbiran negeri pembangkang seperti yang berlaku di Kelantan pada tahun 1970-an.

“Biarpun darurat dilaksanakan, kuasa Menteri Besar, Ketua Menteri dan EXCO kerajaan negeri masih dikekalkan malah mereka masih boleh meneruskan urusan pentadbiran seperti biasa, walaupun di negeri dikuasai pembangkang.

“Kalau dikatakan pelaksanaan darurat ini bermotifkan politik, sudah pasti kerajaan Pulau Pinang, Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan (PH) sudah diambil alih seperti yang berlaku ketika krisis darurat di Kelantan dahulu,” katanya pada sesi webinar bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?’ anjuran Gerakan Pembela Ummah hari ini.

Ahmad Marzuk menjelaskan, pengambilalihan pentadbiran kerajaan negeri itu tidak berlaku dalam pelaksanaan darurat kali ini malah kerajaan Pusat memberi kerjasama dan bantuan kepada kerajaan negeri tanpa mengambil kira ia negeri pembangkang atau sebaliknya.

Justeru, katanya kerajaan berharap semua langkah yang diambil menjamin ketelusan darurat bagi membuktikan kepada rakyat bahawa ia bukan mainan politik.

“Walaupun darurat memberi keistimewaan dan kuasa tertentu, kerajaan menggunakan mekanisme yang adil dan telus dalam memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan, memperakukan bahawa wabak COVID-19 sudah reda atau pulih sepenuhnya,” katanya.

Darurat adalah jalan yang disediakan Perlembagaan Persekutuan bagi mengatasi masalah kritikal seperti pandemik COVID-19 dan ia masih termaktub dalam ruang lingkup demokrasi. Jadi tidak timbul isu kerajaan mencabuli hak kebebasan, kita jadi negara diktator dan sebagainya.

Source Link