info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kerajaan Perlu Inklusif Dalam Rundingan Sektor Kewangan

89views

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan agar bersikap inklusif dalam rundingan mengenai pendigitalan dalam sektor kewangan.

Setiausaha Agung NUBE J. Solomon berkata melalui proses ini, kerajaan dapat melaksanakan pelan induk secara menyeluruh untuk melindungi kepentingan pekerja.

“NUBE tidak menentang pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan dan sumber sah dari luar, tetapi menolak penggunaan teknologi dan sumber luar yang tidak bertanggungjawab hingga menjejaskan kehidupan pekerja golongan B40.

“Putrajaya tidak boleh menutup mata terhadap perubahan dalam sektor kewangan ketika peralihan ke arah pendigitalan dan automasi yang pesat berlaku beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menekankan ahli politik, kesatuan sekerja dan pemimpin perniagaan perlu bertindak segera untuk memastikan perubahan dalam teknologi menyumbang kepada hasil kerja berkualiti tinggi kepada semua pihak.

Katanya, perkara sama boleh dilihat di Jerman, yang mana melalui kerjasama itu, pekerja dan perniagaan berpeluang membentuk polisi sebagai maklum balas kepada kerajaan mengenai pengolahan semula kerja.

Solomon juga meminta agar kerajaan mengadakan rundingan yang lebih efektif untuk memastikan pandangan pekerja diambil kira dan kerajaan dapat melaksanakan pelan induk secara menyeluruh demi melindungi kepentingan pekerja.

Pada masa sama, NUBE juga menggesa kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) agar menggalakkan majikan menyediakan latihan kepada pekerja untuk memastikan kemahiran berterusan berbanding menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau pemberhentian pekerja.

— BERNAMA

Source link