info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kerajaan Sasar 80 Peratus Penduduk Akan Menerima Vaksin Bermula Hujung Bulan Ini

31views

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma, membabitkan tiga fasa.

Fasa pertama katanya, akan membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan, dengan program imunisasi dijadualkan tamat pada April.

“Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

“Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Muhyiddin berkata, fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula Mei hingga Februari tahun depan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.

Beliau juga menjelaskan maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan termasuk mengenai tatacara pendaftaran, lokasi pusat pemberian vaksin serta informasi berkaitan akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi.

Dalam pada itu, bagi memastikan program imunisasi dilaksanakan dengan teratur katanya, Kabinet bersetuju melantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebagai menteri penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Katanya, beliau akan mengetuai satu pasukan petugas khas yang menguruskan pelaksanaan program berkenaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah mengarahkan pihak berkuasa menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

“Untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara,” katanya.

Justeru, beliau menyeru dan mengajak seluruh rakyat bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini.

“Kerajaan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St John’s Ambulance, pihak swasta dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Source Link