info@rakyat.my
Saturday, June 19, 2021
Berita

Kerajaan Siasat Dakwaan Majikan Malaysia Ambil Kesempatan Atas Pekerja Bangladesh

83views

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Kerajaan diminta menyiasat dakwaan persatuan agensi pengambilan pekerja di Bangladesh yang mengatakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) gagal melindungi hak dan kebajikan pekerja warga negara itu di Malaysia.

Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA), menerusi platform Baira Syndicate Nirmul Oikkya Jote (BSNOJ) membuat dakwaan itu dalam sidang akhbar di Dhaka, minggu lalu, lapor pelbagai akhbar di Bangladesh.

Jurucakap BAIRA, Ali Haider Chowdhury dipetik sebagai berkata, wujud peniaga tidak jujur cuba membentuk sindiket untuk memanipulasi perniagaan pengambilan pekerja asing, ketika Malaysia mula membuka pintu sempadannya selepas bertarung dengan pandemik.

BAIRA turut mendesak kerajaan Bangladesh supaya memansuhkan kaedah FWCMS yang menurut mereka adalah sistem yang kontroversi dan gagal di dalam sektor tenaga manusia.

Difahamkan, sidang media BAIRA itu adalah sebagai mesej kepada mesyuarat secara maya antara Menteri Hal Ehwal Tenaga Manusia Bangladesh dengan Menteri Sumber Manusia pada 16 Februari lalu.

Menurut Ali Haider lagi, wujud pihak yang mahu memasukkan kaedah FWCMS sebagai satu daripada agenda mesyuarat kedua-dua menteri, sedangkan sistem itu dilabel sebagai `gagal sama sekali’.

Minggu lalu, sebuah portal berita mendakwa menerima pengesahan perkara itu daripada sumber Kementerian Sumber Manusia.

Antara isu yang dibincangkan adalah jumlah agensi pengambilan pekerja, sistem atas talian (FWCMS) yang digunakan oleh Malaysia untuk mengambil pekerja dari Bangladesh, cadangan tempoh dan tarikh MoU baru yang akan dimeterai Kerajaan Malaysia dan Bangladesh, kata sumber itu.

Kerajaan PH pada September 2018 menangguhkan pengambilan pekerja Bangladesh susulan dakwaan penyelewengan dalam proses pengambilan serta kos yang tinggi.

Sementara itu, seorang peguam, K Saraswathy turut dipetik sebagai mempersoalkan sebarang cubaan untuk membuka semula kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

“Dalam tempoh COVID-19 ini lebih 800,000 rakyat Malaysia telah hilang kerja. Kita kini sudah ada tambahan tenaga kerja tempatan.

“Ini tidak termasuk pekerja asing yang sah dan pekerja asing tanpa izin yang berlambak di Malaysia. Jadi, apa keperluan bagi menteri bermesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Bangladesh mengenai membuka semula membawa masuk pekerja asing,” katanya.

Mengikut laporan media, FWCMS dikendali oleh syarikat Bestinet, yang dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri bagi membangun dan melaksanakan sistem itu.

Meskipun platform berkenaan dikatakan menyediakan rumusan pengurusan end-to-end dalam urusan pengambilan pekerja asing di Malaysia, FWCMS dikritik kerana mewujudkan suatu bentuk monopoli membabitkan transaksi dana yang besar.

Source Link