Berita

Kerajaan Terengganu Bentang Belanjawan 2021

165views

KUALA TERENGGANU, 23 Nov — Kerajaan Negeri Terengganu hari ini membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan “Melestarikan Kesejahteraan Bersama” dengan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jumlah tersebut meliputi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM94.98 juta (6.91 peratus) dan perbelanjaan bekalan sebanyak RM1.28 bilion (93.09 peratus).

“Perbelanjaan bekalan meliputi pemberian dan kenaan bayaran tetap sebanyak RM774.90 juta (56.36 peratus), emolumen sebanyak RM275.75 juta (20.05 peratus), perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM207.1 juta (15.06 peratus), aset sebanyak RM21.27 juta (1.55 peratus) dan perbelanjaan-perbelanjaan lain sebanyak RM1 juta (0.07 peratus),” katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini.

Ahmad Samsuri berkata bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM150 juta (10.91 peratus) adalah untuk caruman Kumpulan Wang Pembangunan, RM270 juta (19.64 peratus) untuk pelbagai perkhidmatan, RM195.3 juta (14.20 peratus) untuk caruman Pihak Berkuasa Tempatan dan badan berkanun, RM124.9 juta (9.08 peratus) untuk jabatan kerajaan manakala RM34.7 juta (2.52 peratus) untuk caruman pelbagai agensi.

Di samping itu katanya, Belanjawan 2021 juga akan memperuntukkan RM20.17 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air dan RM 615 juta untuk perbelanjaan pembangunan yang meliputi sektor ekonomi pertanian, pelancongan dan industri (RM27 juta), sektor pentadbiran yang terdiri daripada teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar jangka (RM88 juta), dan sektor sosial seperti pendidikan, infrastruktur dan pembangunan luar bandar (RM500 juta).

Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata perbelanjaan mengurus bagi belanjawan kali ini berkurangan kira-kira 25 peratus berbanding Belanjawan 2020, susulan penyusutan anggaran hasil kepada RM1.25 bilion pada tahun 2021, berdasarkan anggaran harga minyak mentah Brent US$40 setong berbanding RM1.66 bilion pada 2020.

“Anggaran hasil berjumlah RM1.25 bilion ini adalah daripada hasil cukai sebanyak RM58.56 juta (4.68 peratus), hasil bukan cukai sebanyak RM130.64 juta (10.45 peratus) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.06 bilion (84.87 peratus), iaitu termasuk RM933.33 juta royalti petroleum.

“Walaupun terdapat kekangan kewangan, sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan Royalti Petroleum secara penuh serta membayar hutang pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 berjumlah RM1.431 bilion kepada kerajaan negeri, diharapkan dapat merealisasikan agenda pembangunan wilayah yang seimbang untuk Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun kerajaan negeri masih dibebani dengan pembayaran tertangguh dan pembayaran berjadual berjumlah RM439.75 juta bagi 2021, risiko kelembapan ekonomi dan perbelanjaan luar jangka akibat COVID-19, kerajaan negeri tetap komited dalam mengawal defisit supaya tidak melebihi 10 peratus atau RM125 juta.

Selain itu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM800 kepada kira-kira 13,600 penjawat awam di Terengganu yang akan dibayar Januari ini, sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan mereka.

Bagi memantapkan pentadbiran dan perundangan syariah negeri, kerajaan negeri akan membina Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah di Kemaman dengan peruntukan RM10 juta,

Ahmad Samsuri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk sektor pertanian, yang turut meliputi RM2.4 juta bagi mempergiatkan projek pembangunan buah-buahan terpilih seperti durian Musang King dan mangga.

Bagi merancakkan sektor pelancongan pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi aktiviti promosi galakan pelancongan dan acara di peringkat dalam dan luar negara, selain akan menambah lagi produk pelancongan negeri seperti mewujudkan Perkampungan Melayu di Kampung Losong di sini dan sebuah Muzium Petroleum.

— BERNAMA

Source link