info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Kerja Pembaikan : Kuala Langat Dan Sepang Bakal Alami Gangguan Air

78views

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Sebanyak 27 kawasan di Wilayah Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 malam pada 20 Okt ini dan dijangka pulih sepenuhnya 5.30 petang keesokan hari.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata gangguan bekalan air itu susulan kerja penggantian injap pada paip agihan yang akan dilaksanakan di persimpangan antara Jalan Indah 1 dan Jalan B48, Taman Desa Indah, bermula 9 malam pada 20 Okt ini.

“Pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air berjalan lancar dan semua peralatan berkaitan sentiasa berada dalam keadaan baik dan optimum.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Penambahbaikan infrastruktur sistem agihan bekalan air itu adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan tahap perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan.

Kawasan yang terjejas bagi Wilayah Kuala Langat ialah Kampung Kundang, Kuarters Estate Gadong, Kampung Batu Untung, Tanjung Sepat New Village, Kampung Batu Laut, Taman Batu Untung, Taman Pelangi, Ladang Batu, Taman Tanjung, Taman Tanjung Sepat Indah, Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Taman Mutiara, Ladang Bedford, Kampung Tanjung Sepat Darat, Kampung Tumbuk, Kampung Tanjung Layang, Berek Polis Tanjung Sepat dan Taman Kanchong Laut.

Kawasan terlibat di Sepang pula ialah Kampung Bukit Bangkong, Kampung Hulu Teris, Kampung Ulu Chuchoh, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Tanjung Rhu, Pekan Sungai Pelek, Kem PKLS Hazliza Ulu Teris, Taman Seri Sungai Pelek dan Kampung Baru Sungai Pelek.

— BERNAMA

Source Link