
Kerja pembaikan tanah mendap di Pangsapuri Indahria mula bulan depan
SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) — Kerja-kerja pembaikan ekoran masalah tanah mendap di kawasan parkir Pangsapuri Indahria di Batu Tiga di sini, akan dimulakan 12 Januari tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail.
Beliau berkata kerja-kerja pembaikan itu yang akan dilaksanakan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), dijangka siap dalam tempoh setahun dan membabitkan kos hampir RM25 juta.
Katanya ia diharap mampu menyelesaikan pelbagai isu kerosakan di situ, sekali gus melenyapkan kerisauan penduduk yang dibelenggu masalah tersebut sejak 2010.
“Kawasan ini dibangunkan oleh syarikat pemaju Shanghai Royalty dan ini adalah tanah persendirian bukannya tanah milik kerajaan.
“Maka di sini berlakunya konflik kerana kerajaan negeri tidak mempunyai locus standi untuk membantu menangani masalah ini. Namun akhirnya, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Shah Alam mengambil pendekatan atas dasar keselamatan rakyat dan mengambil tanggungjawab ini,” katanya kepada media selepas melawat pangsapuri itu, di sini hari ini.
Rodziah berkata walaupun kerajaan negeri mendahulukan peruntukan kewangan untuk kerja pembaikan tersebut atas faktor keselamatan penduduk, pihaknya akan tetap memastikan pihak yang berkenaan melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Kita masih lagi berurusan dengan syarikat terbabit. Saya selaku exco perumahan akan memberi kata dua kepada syarikat terbabit, sekiranya tidak tampil dan tidak memberi jawapan untuk mereka mengambil tanggungjawab di pangsapuri ini mungkin kita tidak akan benarkan mereka melakukan apa-apa projek perumahan seterusnya,” katanya.
— BERNAMA